JENAYAH & MAHKAMAH

Cuba serang penceramah masjid guna parang, buruh sawit dipenjara 9 bulan

BATU PAHAT – Seorang buruh ladang kelapa sawit dikenakan hukuman penjara sembilan bulan setelah mengaku salah cuba menyerang penceramah yang sedang menyampaikan kuliah di sebuah masjid di Parit Sulong menggunakan sebilah parang.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Hafiz Harun, 38, selepas mempertimbangkan pengakuan salah tertuduh, rayuan, dan hujah pihak pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berusia 38 tahun yang masih bujang itu didakwa sengaja menimbulkan ketakutan terhadap seorang penceramah lelaki berumur 46 tahun di sebuah masjid di Parit Sulong.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 8.20 malam, 18 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu yang juga ahli kariah lelaki berusia 34 tahun membuat laporan polis selepas mendapati tertuduh cuba menyerang penceramah di masjid terbabit.

Pengadu memberitahu, ketika itu dia sedang mendengar ceramah sebelum terdengar bunyi bising dari luar masjid.

Pengadu melihat tertuduh dalam keadaan marah sambil membawa sebilah parang dan meluru ke arah penceramah lalu mengacu parang.

Bagaimanapun, penceramah bernasib baik kerana hayunan itu terkena pembesar suara. Disebabkan kejadian itu, penceramah beredar dari masjid kerana bimbang kejadian tidak diingini.

Berdasarkan rakaman video dari telefon bimbit pengadu menunjukkan perbuatan tertuduh menghampiri penceramah sebelum mengeluarkan kata-kata ugutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button