BERITA SEMASA

Beroperasi tanpa lesen sejak 20 tahun, 19 kilang di Pulau Indah diroboh

SHAH ALAM – Sebanyak 19 kilang haram yang dipercayai beroperasi tanpa lesen selama lebih 20 tahun di Pulau Indah di sini dirobohkan menerusi Operasi Tindakan Penguatkuasaan Perobohan Bersepadu, semalam.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim berkata, operasi melibatkan kira-kira 300 anggota daripada pelbagai agensi itu dilaksanakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurut beliau, semakan Pejabat Daerah dan Tanah Klang mendapati pengusaha kilang terbabit menjalankan operasi tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan sejak lebih dua dekad lalu.

Katanya, tiada rekod Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pernah dikeluarkan kepada mana-mana pemilik kilang di kawasan berkenaan, malah beberapa permohonan pemberimilikan tanah sekitar 2019 hingga 2020 turut ditolak.

“Operasi ini bukan dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana proses libat urus serta arahan pengosongan tapak telah dimulakan sejak awal tahun lalu sebelum notis pertama diserahkan pada 3 Mac 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa tindakan lain termasuk lawatan tapak, pemantauan, pemasangan kain rentang dan hebahan awam turut dilaksanakan sebelum notis terakhir diserahkan pada 7 April lalu dengan tarikh akhir pengosongan ditetapkan sebelum operasi perobohan dijalankan pada 10 Mei.

Menurut Ng, kerajaan negeri turut memberi ruang munasabah kepada pihak terlibat untuk memindahkan operasi, pekerja dan aset syarikat masing-masing selepas mengambil kira rayuan serta permohonan penangguhan.

Bagaimanapun katanya, tindakan penguatkuasaan tetap perlu diteruskan selepas tempoh diberikan tamat bagi memastikan tanah kerajaan dipelihara dan kawasan industri dapat disusun semula secara lebih teratur.

Tambah beliau, kewujudan kilang tanpa kebenaran bukan sahaja menjejaskan imej kawasan industri, malah memberi kesan kepada kawalan alam sekitar, sistem saliran, keselamatan serta akses logistik selain mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha sah.

Katanya, selepas operasi perobohan selesai, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada kerja pembersihan tapak, pengurusan sisa runtuhan serta penilaian keperluan pemulihan tanah sebelum kawasan itu dibangunkan semula mengikut pelan perancangan yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button