KAJANG – Sebuah kilang kitar semula di kawasan perindustrian Mahkota Beranang dekat sini dikenal pasti sebagai punca pencemaran bau air di Sungai Semenyih yang dikesan kelmarin.
Insiden itu berlaku sekitar pukul 10.30 malam apabila bau abnormal sehingga dua ton direkodkan, sekali gus menimbulkan risiko gangguan terhadap operasi dua Loji Rawatan Air (LRA) utama iaitu Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan awal yang dijalankan pada pagi semalam oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. mendapati terdapat pelepasan cecair berwarna dari premis berkenaan.
Menurut beliau, bahan tersebut dipercayai dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan sebelum mengalir ke Sungai Kabul dan seterusnya mencemari Sungai Semenyih.
“Siasatan lanjut mendapati premis itu memiliki Lesen Air Kembalian di bawah dasar Zero Discharge Policy (ZDP), namun gagal mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, LUAS telah mengarahkan premis terbabit menghentikan serta-merta pelepasan bahan pencemar selain melaksanakan kerja pembersihan dan kawalan di kawasan terjejas.
Sebagai langkah pemulihan awal, sebanyak 100 kilogram karbon teraktif ditempatkan di Sungai Kabul bagi tujuan nyahbau, selain pemantauan intensif dilaksanakan di Sungai Kabul dan Sungai Semenyih bagi memastikan keadaan terkawal.
Dalam masa sama, langkah mitigasi turut diaktifkan menerusi pengepaman air dari Kolam B dan C di bawah Projek Skim Jaminan Air Selangor (SJAM) yang menyalurkan sehingga 770 juta liter sehari ke LRA Sungai Semenyih bagi menjamin bekalan air mentah tidak terjejas.
Jamaliah berkata, sampel air dari lokasi kejadian telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
“Sehingga pukul 8 malam tadi, tiada lagi bau abnormal dikesan dan keadaan Sungai Semenyih serta Sungai Kabul telah kembali normal,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 berkaitan pencemaran sumber air serta Seksyen 59 kerana gagal mematuhi syarat lesen.