BERITA SEMASADALAM NEGERI

Proton buka lembaran baharu dengan kilang EV pertama negara

TANJUNG MALIM – Malaysia hari ini melakar sejarah apabila PROTON melancarkan kilang kenderaan elektrik (EV) pertamanya di sini, sekali gus menjadi pemangkin kepada pengeluaran kenderaan mampu milik bagi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu membuktikan teknologi EV bukan hanya untuk golongan berada, sebaliknya mampu dimiliki masyarakat berpendapatan sederhana.

“Hari ini kita menyaksikan peluncuran Proton EV yang baharu. Saya dimaklumkan usaha sedang dibuat untuk menurunkan kos supaya lebih berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan rakyat biasa, bukan hanya golongan elit,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini, hari ini.

Pencapaian itu menurut Anwar menangkis dakwaan kononnya cukai EV hanya memberi manfaat kepada golongan kaya tidak lagi relevan apabila Proton mengambil inisiatif membangunkan kilang EV tempatan.

Manfaat kerjasama Malaysia-China

Menurut Perdana Menteri, kerjasama erat Malaysia dengan China dalam bidang automotif telah membuka ruang luas kepada jurutera tempatan menguasai kemahiran serta teknologi baharu.

“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan China kerana bukan sahaja mendapat hasil daripada kerjasama ini, tetapi kesediaan mereka memindahkan teknologi turut memberi peluang kepada anak tempatan menghasilkan produk sendiri,” katanya.

Beliau menambah, kejayaan pengeluaran model EV pertama Proton, E-MAS 5, menjadi bukti bahawa Malaysia kini sudah memiliki kemampuan teknologi yang suatu ketika dahulu tidak pernah dicapai.

“Puluhan tahun kita tidak berupaya, dari 1980-an hingga awal 2000-an. Hari ini, hasil kerjasama dengan rakan strategik Geely serta dedikasi jurutera dan profesional muda Proton, kita berjaya memecahkan halangan teknologi ini,” jelasnya.

Manfaat kepada rakyat

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa pembangunan pusat industri perlu seiring dengan keperluan masyarakat setempat, khususnya penduduk luar bandar.

“Kita boleh bangunkan industri, tetapi jangan abaikan kebajikan rakyat. Kemudahan kesihatan, pendidikan dan prasarana asas mesti diperkukuh supaya tidak wujud jurang ketara antara kawasan desa dengan pusat industri,” katanya.

Justeru, beliau mahu setiap kementerian meneliti keperluan asas di sekitar Tanjung Malim bagi memastikan keseimbangan pembangunan, termasuk peluang pendidikan dan latihan untuk anak muda tempatan.

“Tanjung Malim memerlukan kemudahan latihan, sekolah rendah dan menengah serta akses pengangkutan yang lebih baik agar masyarakat di daerah ini turut menikmati manfaat daripada pembangunan Proton,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button