BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Pembukaan kilang Bio Eneco perkasa pelaburan hijau, lonjak ekonomi Pantai Timur

KUANTAN – Pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng, di sini, menjadi langkah strategik dalam memperkukuh landskap tenaga hijau negara tatkala Malaysia berdepan cabaran peralihan tenaga, isu keselamatan bekalan serta tuntutan ke arah ekonomi rendah karbon.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Yeo Hock Cheong berkata, bio tenaga memainkan peranan penting sebagai penyelesaian peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan tersedia untuk digunakan ketika dunia beralih ke arah tenaga bersih.

“Kilang ini bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa termasuk Jepun,” katanya.

Terdahulu, kilang berteknologi tinggi itu dirasmikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini, baru-baru ini, selari dengan komitmen sektor swasta dalam menyokong agenda Ekonomi MADANI serta sasaran kelestarian negara.

Keberangkatan baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak; Pengerusi Elridge Energy, Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid serta Yeo Hock Cheong.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pemilihan Gebeng Industrial Estate sebagai lokasi operasi disifatkan strategik berikutan kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan, sekali gus menyokong kecekapan logistik, eksport berskala besar dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang.

Projek bio tenaga tersebut juga dilihat sebagai pemangkin baharu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Pantai Timur selain mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan pembangunan rantaian bekalan tempatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.

Elridge Energy dijangka terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berdisiplin sejajar dengan keperluan pasaran jangka panjang dan keutamaan keselamatan tenaga nasional.

Untuk rekod, kilang Bio Eneco di Gebeng, Kuantan, merupakan yang ketiga dimiliki syarikat itu selepas beroperasi di Telok Gong, Pelabuhan Klang dan Kapar, Klang, Selangor, manakala sebuah lagi bakal dibuka di Pasir Gudang, Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button