Omega 2 Shah Alam pacu revolusi logistik rantaian sejuk pintar negara
SHAH ALAM – Ally Logistic Property (ALP) melabur kira-kira RM500 juta bagi membangunkan OMEGA 2 Shah Alam, kemudahan rantaian sejuk pintar pertama di Malaysia yang dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (AS/RS) berbilang tingkat binaan pemaju bagi memperkukuh infrastruktur logistik berteknologi tinggi negara.
Pengarah Urusan Ally Logistic Property Malaysia, Bryan Yeo berkata, logistik rantai sejuk kini semakin penting dalam sektor pengedaran makanan, farmaseutikal, peruncitan dan e-dagang, namun pasaran infrastruktur rantai sejuk negara masih belum dicapai sepenuhnya dari aspek automasi, kebolehskalaan serta kecekapan tenaga.
Katanya, OMEGA 2 Shah Alam dibangunkan bagi menangani jurang tersebut menerusi penyelesaian rantai sejuk yang lebih pintar dan mampan selain menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan berpacukan teknologi.
“Selain kecekapan operasi, kami percaya infrastruktur logistik termaju juga mampu menyumbang kepada matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peralihan tenaga negara,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, ALP yang juga pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar berpangkalan di Taiwan itu memaklumkan, pembangunan di kawasan seluas sembilan ekar di selatan Shah Alam, Selangor berkenaan disasarkan siap pada suku kedua 2028.
Jelas ALP, OMEGA 2 Shah Alam merupakan projek OMEGA kedua di Lembah Klang dengan keluasan binaan kira-kira 577,000 kaki persegi serta memiliki lebih 30,000 kedudukan palet dalam sistem AS/RS miliknya.
Kemudahan tersebut direka berasaskan model pelbagai penyewa bagi membolehkan pelbagai rantaian bekalan beroperasi dalam satu ekosistem infrastruktur bersama sekali gus mengurangkan pertindihan aset logistik dan penggunaan tenaga keseluruhan merentasi rangkaian rantaian bekalan.
Selain itu, hab logistik pelbagai suhu itu turut menggabungkan zon penyimpanan ambien, berhawa dingin, sejuk dan beku bagi memenuhi keperluan sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, peruncitan serta e-dagang yang berkembang pesat di Malaysia.

Mengulas lanjut, Bryan berkata, kemudahan itu direka berteraskan prinsip kemampanan menerusi penggunaan sistem AS/RS berketumpatan tinggi dan sistem pengurusan tenaga pintar bagi mengurangkan penggunaan tenaga serta mengoptimumkan sumber operasi berbanding kemudahan penyimpanan sejuk konvensional.
Katanya, pembangunan tersebut selaras dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang menekankan pertumbuhan industri mampan, kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi termaju bagi memperkukuh daya saing Malaysia sebagai hab logistik serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pihaknya memuji komitmen ALP Malaysia terhadap logistik pintar dan automasi yang disifatkan sebagai sumbangan penting kepada agenda transformasi industri negara.
Menurut beliau, OMEGA 2 Shah Alam mencerminkan pelaburan bernilai tinggi dan berpacukan teknologi yang dihasratkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan NIMP 2030 selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kompetitif pelaburan logistik termaju dan rantaian bekalan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari pula berkata, pelaburan ALP Malaysia dalam logistik pintar dan automasi selaras dengan agenda transformasi industri negara serta visi Selangor untuk muncul sebagai hab utama industri bernilai tinggi dan berpacukan teknologi.
Katanya, Invest Selangor akan terus memudah cara pelaburan strategik bagi merealisasikan visi tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







