BERITA SEMASA

Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam rumah di Seremban

SEREMBAN – Tiga sekeluarga ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai bau busuk dari rumah terbabit yang didapati berkunci pada pukul 4.53 petang.

“Bertindak atas maklumat, anggota polis bersama pasukan bomba telah ke lokasi kejadian dan memotong mangga pagar rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua mangsa merupakan ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya berusia 59 tahun serta anak lelaki mereka berusia 30 tahun.

Pemeriksaan forensik juga menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan tersebut, manakala mayat ibu bapa mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan.

“Empat bilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut ditemukan dengan kesan darah, selain pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu,” katanya.

Ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil laporan penuh bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button