Program Arkib@Sekolah pupuk jati diri pelajar
SANDAKAN – Program Arkib@Sekolah 2025 yang dilancarkan di Sekolah Menengah St. Mary hari ini, diharap dapat menjadi platform penting dalam memperkukuh jati diri dan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Arkib Negara Malaysia itu amat signifikan dalam usaha memasyarakatkan arkib agar lebih dekat dan relevan dengan kehidupan rakyat.

“Arkib bukan sekadar koleksi dokumen atau gambar lama, tetapi cerminan sejarah, identiti dan perjuangan negara bangsa yang wajar dihargai dan dihayati.
“Melalui program ini, kita mempelbagaikan kaedah pengembangan sejarah negara ke arah memperkukuh jati diri rakyat Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program tersebut.

Beliau berkata, program berkenaan turut menyokong usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui pemahaman terhadap sejarah yang dikongsi bersama pelbagai kaum di negara ini.
“Pelajar akan didedahkan dengan bahan arkib sebagai sumber autentik serta diberi peluang untuk mendekati sejarah secara interaktif dan kreatif melalui pameran serta aktiviti pendidikan yang santai.
“Saya percaya pembangunan insan berilmu dan berjiwa patriotik bermula dari bangku sekolah. Usaha seperti ini wajar diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara,” katanya lagi.
Aaron turut berkata, peranan guru amat penting sebagai pemudah cara dalam menyampaikan nilai-nilai murni sejarah dan perpaduan kepada pelajar.
Beliau turut mengingatkan pelajar agar tidak melupakan pengorbanan generasi terdahulu dan memanfaatkan sepenuhnya program seperti itu.
“Gunakan peluang ini untuk belajar, bertanya dan menelusuri sejarah kita dengan hati terbuka dan minda ingin tahu,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh kepentingan penghayatan terhadap Rukun Negara yang lahir selepas peristiwa 13 Mei 1969, hasil usaha Majlis Perundingan Negara yang diterajui Tun Abdul Razak.
“Arkib Negara Malaysia kini menyimpan lebih 80 bahan berkaitan Rukun Negara yang boleh dijadikan sumber pembelajaran di sekolah bagi menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Penghayatan terhadap Rukun Negara ini perlu dipupuk sejak awal dan diteruskan hingga ke institusi pengajian tinggi agar nilai-nilai murni dapat menjadi teras setiap warga Malaysia,” katanya lagi.
Beliau berkata, Sekolah Menengah St. Mary menjadi lokasi pertama penganjuran program itu bagi tahun ini dan program sama akan diteruskan di Kedah serta Kelantan.
“Saya berharap ANM dapat bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memperluaskan pelaksanaan program ini ke seluruh negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








