
Kementerian Perpaduan akan hantar kertas cadangan penstrukturan, penyusunan semula bahagian
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menghantar kertas cadangan penstrukturan dan penyusunan semula bahagian-bahagian di bawah kementerian itu untuk pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan segera ekoran kekurangan tenaga kerja.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, semua agensi di bawah kementeriannya sedang mengumpul maklumat berkaitan dan perbincangan lanjut akan dibuat bagi mengenalpasti keperluan sebenar di setiap negeri dan daerah seluruh negara.
“Kita telah memohon penstrukturan semula kementerian untuk mendapatkan bukan sahaja pegawai, tetapi struktur bagi memberi fokus kepada program yang telah dirancang sepanjang tahun ini.
“Kita sudah ada senarai aktiviti dan bengkel yang ingin dilaksanakan di peringkat kementerian dan KRT (Kawasan Rukun Tetangga).
“Selepas mendapat semua maklumat dan organisasi untuk penstrukturan, rangka kerja yang sepatutnya dapat bantu dalam kegiatan kita perlu dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara, di sini hari ini.
Sementara itu, Aaron turut memaklumkan, peranan KPN turut menjadi lebih besar sejak penstrukturan semula agensi kerajaan.
“(Sehubungan itu) Saya juga telah meminta KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk meneliti segera berhubung penstrukturan gred dan bilangan perjawatan pegawai perpaduan negeri (PPN) dan daerah (PPD) supaya setiap kawasan diwakili pegawai sewajarnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







