BERITA SEMASAPMX

PM seru dunia Islam lebih proaktif

Anwar diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World

KAZAN – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia–Islamic World yang berlangsung di Kazan, Rusia, hari ini.

Mesyuarat tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi Anwar ke negara itu dan inisiatif penting yang dipelopori oleh Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov dengan sokongan penuh Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Dalam ucapannya, Anwar menyatakan penghargaan terhadap komitmen Presiden Putin yang terus menyokong KazanForum sebagai platform kerjasama antara Rusia dan dunia Islam, ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran yang lebih inklusif.

“Dunia Islam, khususnya para pemimpin dan cendekiawan harus bersikap lebih proaktif.

“Kita tidak boleh terus menanggapi krisis seperti di Gaza dengan rasa putus asa, sebaliknya bangkit memberi harapan dan menempa hala tuju kepada generasi muda agar mereka tidak terus terperangkap dalam naratif perpecahan dan kekecewaan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menyeru agar perbezaan sesama umat Islam tidak terus menjadi punca perbalahan.

KazanForum merupakan platform kerjasama antara Rusia dan dunia Islam, ke arah pembangunan, keamanan dan kemakmuran yang lebih inklusif.

BACA LAGI : Anwar seru tingkat dialog peradaban, hargai layanan mesra Rusia

BACA LAGI : Lawatan PM ke Moscow: Simbol dasar berkecuali melalui diplomasi terbuka, berstrategi

Sebaliknya, kerjasama untuk masa depan perlu dibina berteraskan nilai, akhlak dan integriti.

“Di Malaysia, visi ini dimanifestasikan menerusi gagasan MADANI yang menganjurkan usaha menggapai kemajuan teknologi dan ekonomi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga, namun berakar pada nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan sosial,” tegasnya.

Anwar turut menyambut baik usaha Rais Rustam untuk melibatkan suara anak muda dalam sesi perbincangan akan datang.

“Pandangan dan saranan mereka wajar diberi ruang dalam usaha membina masa depan yang lebih adil, mampan dan bermaruah untuk seluruh umat sejagat,” katanya.

Selesai majlis, Anwar dan delegasi Malaysia diraikan dalam satu jamuan tengah hari yang menampilkan hidangan tradisional masyarakat Tatarstan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button