Anwar seru tingkat dialog peradaban, hargai layanan mesra Rusia
MOSCOW – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru agar dialog peradaban yang konstruktif dan bermaruah dipertingkatkan demi membina hubungan antarabangsa yang lebih kukuh dan menghormati kepelbagaian budaya.
“Dialog peradaban ini mesti melibatkan kesediaan untuk saling menghormati dan mengiktiraf kekuatan serta maruah budaya yang berlainan, bukan hanya mendominasi satu budaya sahaja,” ujar Anwar, memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian dalam sesi syarahan umum bertajuk ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia yang berlangsung di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO) petang tadi.

Anwar berkongsi, pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin berjalan dengan baik meskipun terdapat perbezaan latar belakang, budayan dan tamadun yang siginifikan antara kedua-dua negara.
“Pertemuan kami di sini, diundang oleh Presiden Putin adalah peluang yang sangat berharga.
“Walaupun kita berasal dari latar belakang yang sangat berbeza, kami diperlakukan dengan rasa hormat yang tinggi. Ini adalah satu contoh hubungan yang mendalam, meskipun negara kami agak kecil di peta dunia,” jelas beliau.
Tambah beliau, dalam tempoh pasca-normal ketika ini, nilai-nilai seperti keadilan, belas ihsan dan kewujudan bersama tidak boleh diabaikan.
“Kita tidak boleh kehilangan jiwa maruah, nilai kemanusiaan dan rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira kepercayaan yang berbeza, budaya yang berbeza,” katanya lagi.
Selain itu, Anwar turut mengingatkan hubungan antarabangsa bukan sahaja melibatkan aspek politik dan diplomasi, tetapi juga perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri.

Menurut beliau lagi, negara-negara perlu memastikan bahawa asas ekonomi mereka kukuh, namun nilai kemanusiaan tidak boleh diabaikan dalam apa juga keadaan.
Anwar yang merupakan Menteri Kewangan turut menerima Anugerah Doktor Kehormat daripada MGIMO atas sumbangan beliau dalam menegakkan keamanan sejagat serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.
Penghargaan itu mencerminkan dedikasi beliau dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara dunia, terutamanya dalam memastikan keharmonian antarabangsa yang lebih luas.
Anwar juga menekankan bahawa hubungan dua hala Malaysia-Rusia perlu merangkumi pelbagai aspek termasuk pertukaran belia, pelajar dan penyelidik.
“Ketika ini terdapat hampir 400 pelajar Rusia sedang menyambung pelajaran di Malaysia, manakala kira-kira 700 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Rusia.
“Tahniah kepada MGIMO kerana menawarkan pengajian Bahasa Malaysia di sini, sama seperti Universiti Malaya yang turut menawarkan pengajian bahasa Rusia di sana.
“Ini adalah peluang yang sangat baik untuk mengukuhkan lagi hubungan antara dua negara kita melalui pendidikan, yang membuka ruang untuk lebih banyak pertukaran idea dan budaya,” kata Anwar.
Perdana Menteri kini dalam lawatan rasmi ke Moscow, Rusia selama empat hari bermula 13 Mei lalu dan berakhir esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


