BERITA SEMASA

Isu kuil: Kebebasan beragama tidak izinkan mana-mana pihak ceroboh tanah orang lain – peguam

KUALA LUMPUR – Kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia bukan tiket kepada mana-mana pihak menceroboh tanah orang lain untuk membina rumah ibadat, kata peguam, Dr Shamsher Singh Thind.

“Kebebasan beragama tidak mengizinkan mana-mana orang menceroboh tanah orang lain.

“Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan tidak mengatasi Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Peguam, Dr Shamsher Singh Thind

Dalam pada itu, Shamsher juga menggesa wakil rakyat beragama Hindu untuk membuat kajian mengenai kewujudan kuil Hindu di seluruh negara sama ada dibina secara sah atau tidak.

“Saya nak bagi homework sedikit kepada wakil-wakil rakyat Hindu di Malaysia.

“Cuba buat satu kajian mengenai semua kuil Hindu, tak kira lah besar atau kecil. Pastikan kuil tersebut dibina atas tanah milik sendiri atau tanah yang telah dipajak atau disewa secara sah atau kebenaran menduduki tanah melalui apa-apa cara lain diperolehi secara bertulis daripada tuan tanah.

“Kalau ada, okay. Kalau tak ada, pastikan ahli jawatankuasa (AJK) kuil tersebut dipanggil untuk bagi penjelasan.

“Kalau penjelasan yang diberikan tidak masuk akal, maka kuil tersebut harus diarahkan untuk dipindah ke tempat lain,” katanya.

Katanya, jika kebenaran telah diberikan oleh pemilik tanah terdahulu namun bukan lagi oleh pemilik tanah sekarang, beliau mencadangkan kerajaan membantu AJK kuil tersebut.

Beliau mencadangkan sama ada dengan menyediakan tapak baharu untuk kuil tersebut atau melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 atau dengan meminta pemilik tanah memberi sedikit bayaran ex gratia supaya kuil dapat dipindah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button