Isu kuil: Hassan Karim gesa PM tidak robohkan, cadang masjid dibina di tapak lain
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa supaya Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak dalam tanah wakaf milik Jakel tidak dirobohkan.
Sehubungan itu beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil jalan penyelesaian yang adil dan bijaksana berasaskan prinsip Madani.
“Sebagai seorang Muslim saya menyeru Perdana Menteri yang juga seorang pemimpin Muslim yang dihormati di dalam negeri dan di dunia antarabangsa, maka kita sama-sama tunjukkanlah budi dan adab seorang Muslim yang diseru oleh ajaran Islam untuk kita menghormati hak rakyat beragama Hindu di Malaysia ini.
“Jalan penyelesaian yang kedua ialah Perdana Menteri mengemukakan cadangan supaya sebuah masjid baru yang hendak dibina itu kita sama-sama dirikan di atas tapak lain bersebelahan atau berdekatan kuil tersebut. Ini bermakna masjid dapat dibina dan kuil yang ada di situ kekal di tapak yang sedia ada seperti sekarang tanpa dirobohkan,” katanya dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri hari ini.

Katanya, jika jalan penyelesaian seperti itu dapat dicapai maka banyak kebaikan dapat diperolehi.
Antaranya, katanya, tiada hati dan perasaan mana-mana kaum dan agama terluka selain dapat mengelakkan perpecahan kaum dan agama.
“Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini selaku Perdana Menteri Malaysia bagi semua rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ehsan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








