Program Ihya’ Mushaf lepasi sasaran, kutip 1,200kg al-Quran dan buku agama rosak
SUNGAI BULOH – Kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan memelihara kesucian al-Quran terserlah apabila Program Ihya’ Mushaf berjaya mengumpul sebanyak 1,200 kilogram (kg) mushaf al-Quran dan buku-buku agama rosak.
Jumlah itu jauh melepasi sasaran awal sebanyak 300kg yang ditetapkan penganjur.
Program berkonsep pendidikan dan khidmat komuniti itu berlangsung di Masjid Saujana Utama, di sini kelmarin dari pukul 9 pagi hingga 3 petang dengan sambutan menggalakkan daripada jemaah masjid serta penduduk setempat.

Mereka hadir untuk menyerahkan bahan bercetak agama uzur bagi tujuan pelupusan mengikut tatacara sahih dan garis panduan syariah.
Program Ihya’ Mushaf dianjurkan oleh pelajar Semester 7, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Antara Personal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sebagai sebahagian pelaksanaan akademik bagi subjek INC601 – Group Dynamics and Leadership.
Inisiatif itu dirangka sebagai usaha kesedaran awam yang menjadikan masjid sebagai pusat rujukan utama dalam membantu masyarakat memahami kaedah pelupusan mushaf yang betul, memandangkan bahan bercetak ayat suci boleh rosak akibat faktor usia, bencana alam, serangga atau penyimpanan yang tidak sesuai.

Pengarah Projek, Putri Nur Izzati Yazit berkata, sasaran awal program hanyalah 300kg, namun sambutan luar jangkaan daripada masyarakat setempat membolehkan penganjur mengutip sehingga 1,200 kilogram al-Quran, kitab dan buku agama uzur.
“Program ini bukan sahaja menyediakan saluran pelupusan yang teratur dan patuh syariah malah menjadi platform pembelajaran berimpak tinggi kepada pelajar dalam membangunkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi.
“Penduduk setempat turut menyambut baik pelaksanaannya dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan dan Penasihat Program, Norhayati Baba berkata, Program Ihya’ Mushaf merupakan penganjuran kali ketiga oleh pelajar e-Pembelajaran Jarak Jauh (e-PJJ) dan kali kedua dilaksanakan bersama Masjid Saujana Utama, selepas penganjuran terdahulu melibatkan pelajar sepenuh masa dan separuh masa.

“Kejayaan program ini mencerminkan keupayaan pelajar mengurus projek komuniti sebenar secara profesional termasuk aspek perancangan, hebahan, pengurusan logistik serta kerjasama strategik dengan pihak masjid dan rakan industri.
“Antara kelainan penganjuran kali ini ialah kerjasama strategik bersama Attin Press Sdn Bhd yang mengendalikan proses pelupusan menggunakan teknologi pemisahan dakwat sebelum mushaf dilupuskan, bagi memastikan kandungan bertulis dinyahaktif mengikut tatacara yang dibenarkan syarak,” jelas Norhayati.
Tambah beliau, bagi tujuan pengurusan dan pelupusan yang mematuhi garis panduan ditetapkan, kos RM5 bagi setiap kilogram dikenakan bagi menampung keseluruhan proses pengendalian sehingga pelupusan.

Penganjur berharap Program Ihya’ Mushaf dapat terus dijadikan platform pendidikan dan khidmat komuniti yang memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi, masjid dan masyarakat setempat dalam usaha memelihara kesucian al-Quran secara beradab dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








