Lawatan PM ke Moscow: Simbol dasar berkecuali melalui diplomasi terbuka, berstrategi
PENDEKATAN berkecuali Malaysia dalam landskap geopolitik global yang kian berpecah bukan sekadar strategi tradisi tetapi satu keperluan mendesak dalam mengekalkan kedaulatan, kelangsungan ekonomi dan peranan aktif di pentas antarabangsa.
Dalam konteks ini, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Moscow pada Mei 2025 bukan hanya mencerminkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia, malah menjadi simbol kepada dasar luar negara yang matang, berprinsip dan berpandangan jauh.

Ketika dunia bergelut dengan ketegangan kuasa besar, konflik bersenjata serta ketidaktentuan pasca-pandemik, Malaysia memilih untuk kekal sebagai pemain seimbang yang tegas mempertahankan kepentingan nasional melalui diplomasi terbuka dan berstrategi.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, lawatan PM itu hakikatnya membawa makna strategik dan simbolik besar bagi Malaysia yang dapat dilihat dari tiga aspek utama.
“Pertama, lawatan ini menzahirkan dasar berkecuali dan tidak berpaksi Malaysia yang telah lama diamalkan.
“Dengan menjalin hubungan diplomatik bersama Rusia, Malaysia menunjukkan bahawa ia tidak ingin terjebak dalam persaingan kuasa besar, khususnya ketegangan antara Rusia dan Barat serta persaingan Amerika Syarikat (AS)-China.
“Pendekatan seimbang ini selaras dengan kepentingan Malaysia untuk mengekalkan ruang diplomatik dan melindungi kepentingan nasional dalam persekitaran global yang pelbagai,” jelas Dr. Muhammad Irwan kepada Malaysia Tribune.

Kedua, kehadiran PM di Moscow menghantar mesej diplomatik bahawa Malaysia menghargai hubungan dengan semua kuasa besar, termasuk yang sedang dipinggirkan oleh negara Barat.
“Lawatan ini juga boleh ditafsir sebagai kritikan halus terhadap sekatan unilateral dan sokongan kepada pendekatan multilateralisme yang berasaskan kedaulatan dan saling menghormati,” katanya.
Ketiga, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, langkah Malaysia mendekati Rusia boleh dilihat sebagai sebahagian daripada strategi penglibatan serantau yang lebih luas.
“Melalui lawatan ini, PM berpeluang meletakkan Malaysia dan secara tidak langsung ASEAN, sebagai perantara yang konstruktif dalam hal ehwal antarabangsa, memperjuangkan dialog dan kewujudan bersama secara aman dalam suasana ketegangan global yang semakin meningkat,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, hubungan dua hala yang lebih kukuh antara Malaysia dan Rusia boleh memberi manfaat strategik kepada negara dalam beberapa sektor utama seperti teknologi, perdagangan, keselamatan makanan dan tenaga.
“Dari sudut teknologi, kepakaran Rusia dalam bidang aeroangkasa, pertahanan dan keselamatan siber boleh menyokong agenda transformasi industri dan pendigitalan negara.

“Malaysia boleh meneroka kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, serta pemindahan teknologi melalui perkongsian antara institusi pengajian tinggi dan sektor industri.
“Dari aspek perdagangan pula, Rusia menawarkan peluang sebagai pasaran baharu untuk produk eksport Malaysia seperti minyak sawit, makanan halal, barangan elektronik dan getah.
“Dalam masa yang sama, Malaysia boleh mengimport bahan mentah strategik dari Rusia seperti baja, gandum, logam industri dan mesin dengan kos yang lebih kompetitif, sekali gus mempelbagaikan sumber bekalan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional,” ujar beliau.
Tambahnya, dalam isu keselamatan makanan, Rusia sebagai pengeksport utama gandum dan baja boleh menjadi pembekal utama jangka panjang, terutama ketika dunia berdepan gangguan rantaian bekalan.
“Tidak ketinggalan, Malaysia juga boleh belajar daripada kemajuan Rusia dalam teknologi pertanian berskala besar untuk memperkukuh keupayaan domestik dalam pengeluaran makanan.
“Kerjasama dalam sektor tenaga pula boleh memberi jaminan kepada keselamatan tenaga negara. Firma tenaga Rusia seperti Gazprom dan Rosneft boleh memainkan peranan dalam kerjasama eksplorasi dan perdagangan LNG.
“Selain itu, perkongsian dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi nuklear secara aman boleh membantu Malaysia meluaskan sumber tenaganya untuk masa hadapan,” jelas beliau.

Dr. Muhammad Irwan juga menjelaskan, sangat penting untuk Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang proaktif dan berpandangan jauh, terutamanya dalam era pasca pandemik dan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
“Dunia kini semakin berpecah dan tidak menentu, dengan persaingan kuasa besar seperti AS-China, konflik serantau dan kebangkitan dasar perlindungan perdagangan.
“Justeru, Malaysia tidak boleh sekadar bertindak balas secara reaktif kerana ini boleh menyebabkan negara terperangkap dalam kejutan mendadak.
“Sebaliknya, pemikiran berasaskan jangkaan membolehkan Malaysia merancang dan bertindak awal bagi melindungi kepentingan nasional,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut meringkaskan kepentingan itu dalam tiga isu utama.
Pertama, keselamatan dan keunggulan ekonomi mesti menjadi keutamaan yang memacu strategi hubungan luar Malaysia.
“Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan rantaian bekalan global, manakala konflik berterusan seperti perang Ukraine dan Gaza serta ketegangan di antara India dan Pakistan, menimbulkan risiko terhadap laluan perdagangan, aliran pelaburan dan pasaran tenaga.
“Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia mesti mempelbagaikan pasaran barangan dan perkhidmatan, membina rantaian bekalan yang berdaya tahan, menjamin bekalan makanan dan sumber tenaga.
“Dalam suasana penyusutan globalisasi, pelabur semakin memilih negara yang stabil dan berwibawa. Pendekatan dasar luar yang terancang dan konsisten akan meningkatkan keyakinan pelabur, terutama dalam sektor ekonomi digital, teknologi hijau dan perdagangan halal,” ujar beliau.

Kedua, Dr. Muhammad Irwan memberitahu, pendekatan berpandangan jauh juga penting untuk memperkukuh daya tahan negara dan kedaulatan.
“Ancaman baharu seperti serangan siber dan penggunaan kewangan sebagai senjata perlu ditangani dengan persediaan strategik.
“Ini membolehkan Malaysia melabur dalam keupayaan diplomatik, ekonomi dan pertahanan yang sesuai demi melindungi kebebasan membuat keputusan negara,” katanya.
Ketiga, dasar luar bukan hanya mengenai hubungan antara negara tetapi memberi kesan langsung kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, keselamatan dan mobiliti antarabangsa.
“Diplomasi yang proaktif boleh membantu membuka pasaran baharu bagi produk Malaysia, melindungi pekerja dan pelajar di luar negara serta memperkukuh pertukaran budaya dan pendidikan,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, pendekatan berkecuali Malaysia dalam hubungan antarabangsa telah lama menjadi tonggak dasar luar negara, membolehkan Malaysia mempertahankan kedaulatan sambil meningkatkan pengaruh di pentas global.
“Pendekatan ini memberikan beberapa manfaat penting kepada negara. Dengan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar seperti AS atau China, Malaysia mengelak daripada terjebak dalam konflik proksi atau dipaksa untuk memilih pihak.
“Ini memberi ruang kepada negara untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan nasional tanpa tekanan luar, sekali gus mengukuhkan kebebasan dasar dan kredibiliti diplomatik.

“Sikap berkecuali juga memberi fleksibiliti kepada Malaysia untuk berurusan dengan pelbagai rakan strategik dari blok yang bersaing.
“Malaysia boleh menjalin kerjasama dengan China dalam pembangunan infrastruktur, dengan AS dalam teknologi dan pelaburan serta dengan Kesatuan Eropah dalam bidang kelestarian dan Pendidikan,” jelasnya.
Pada masa yang sama, pendekatan tersebut menjadikan Malaysia sebagai suara sederhana dan pengantara yang dipercayai, terutamanya dalam ASEAN dan dunia Islam.
“Reputasi ini membolehkan Malaysia memainkan peranan sebagai jambatan dalam menyelesaikan konflik dan menggalakkan dialog pelbagai hala, seperti dalam isu Islamofobia, kerjasama Selatan-Selatan, atau inisiatif keamanan global.
“Sikap berkecuali juga menarik pelabur asing yang mencari persekitaran politik yang stabil dan tidak terheret dalam kancah persaingan kuasa besar. Malaysia dilihat sebagai destinasi pelaburan yang selamat dan neutral oleh pelabur dari pelbagai negara.
“Pendekatan ini turut mengukuhkan peranan Malaysia dalam memastikan semangat kebersamaan di kalangan anggota ASEAN. Malaysia mengelak daripada tindakan yang boleh memecahbelahkan blok serantau dan sebaliknya menyokong perpaduan dan konsensus rantau ini, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Irwan menegaskan mengambil sikap berkecuali tidak bermakna Malaysia pasif.
Sebaliknya, Malaysia terus menyokong prinsip undang-undang antarabangsa, multilateralisme dan penyelesaian konflik secara aman, contohnya melalui komitmen kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dalam isu Laut China Selatan.
“Pendirian berprinsip ini meningkatkan wibawa moral dan penghormatan terhadap Malaysia dalam pelbagai forum antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
“Saya berpandangan bahawa sikap berkecuali Malaysia adalah satu aset strategik. Ia membolehkan negara mengekalkan kedaulatan, meluaskan ruang diplomasi dan ekonomi serta memainkan peranan yang lebih besar di peringkat antarabangsa.
“Dalam dunia yang semakin berbeza disebabkan polarisasi, pendekatan ini menjadikan Malaysia rakan global yang boleh dipercayai, dihormati dan berdaya tahan,” tegasnya menutup kata.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








