BERITA SEMASAPMX

Perpustakaan bukan sekadar monumen buku tapi gedung ilmu yang hidup -PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya perpustakaan di rantau ini melaksanakan proses transformasi daripada pusat simpanan buku menjadi gedung ilmu pengetahuan yang hidup, interaktif dan inklusif, khususnya dalam mendidik generasi muda.

Dalam ucapan penuh semangat sempena Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (Consal XIX), Anwar berkongsi kisah peribadinya sebagai seorang pencinta buku.

Anwar juga memberi peringatan supaya masyarakat terus membudayakan tabiat membaca yang kian terhakis oleh pelbagai gangguan kandungan berbentuk digital.

Kongres Consal XIX yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun menghimpunkan 1,200 orang peserta terdiri daripada pustakawan, akademik dan pakar maklumat dari seluruh Asia Tenggara bagi membincangkan masa depan perpustakaan dan teknologi maklumat dalam mendidik masyarakat pasca digital.

“Buku bukan sekadar hiasan atau disimpan dalam plastik. Buku harus dibaca. Perpustakaan pula mesti menjadi tempat yang menghidupkan budaya membaca, bukan sekadar tempat yang bersih dan senyap,” tegasnya pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Anwar turut menyentuh keperluan perpustakaan untuk bergerak seiring perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), sambil terus menarik minat pelajar terhadap bahan bacaan berkualiti.

“Tanpa tabiat membaca, masyarakat hilang ruang untuk mencuba idea, membandingkan pengalaman dan memperkukuh pemikiran. Ini menjejaskan pelajar, wartawan, bahkan demokrasi itu sendiri,” jelas Anwar.

Di samping itu, Perdana Menteri juga menekankan peranan perpustakaan dalam memperkukuh jati diri budaya dan warisan Asia, berbanding bergantung sepenuhnya kepada naratif Barat.

Beliau menyebut contoh warisan Angkor Wat, Borobudur dan Kesultanan Melaka sebagai lambang kebesaran tamadun Asia yang perlu diketahui oleh generasi muda melalui pembacaan dan kajian.

“Kita perlu bangunkan keyakinan dalam kalangan pelajar bahawa mereka berasal daripada peradaban besar dan tidak sekadar menjadi mangsa naratif ketuanan idea Barat,” katanya.

Beliau mengimbau sejarah keilmuan Islam ketika zaman Baghdad dan Khalifah, di mana para ilmuwan sanggup berhijrah hanya demi membawa buku ke pusat ilmu.

“Mereka tidak minta pejabat atau kereta baharu, hanya ruang untuk simpan buku. Itu menunjukkan keutamaan mereka,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Anwar, salah satu cabaran yang dihadapi ke arah memupuk budaya membaca adalah untuk menjadikan buku sebagai bahan yang menarik untuk dibaca pelajar.

“Misalnya sebagai penulis, apabila anda beri buku, jangan sekadar hulur. Buka muka surat 43, baca satu perenggan yang menarik. Itu lebih berkesan,” ujarnya.

Pada akhir ucapan, Perdana Menteri menyatakan sokongan terhadap inisiatif Perpustakaan Digital ASEAN dan mengingatkan bahawa perpustakaan hari ini tidak sepatutnya menjadi ‘monumen kebanggaan’ yang sunyi dan membosankan, tetapi perlu diubah menjadi ruang terbuka, dinamik dan mesra komuniti.

“Perpustakaan mesti menyediakan ruang yang bukan saja untuk buku, tetapi juga filem, e-buku, pangkalan data dan pelbagai medium moden yang mencerminkan cara manusia belajar dan meneroka hari ini,” katanya.

Kongres Consal XIX yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun di Kuala Lumpur menghimpunkan 1,200 orang peserta terdiri daripada pustakawan, akademik dan pakar maklumat dari seluruh Asia Tenggara bagi membincangkan masa depan perpustakaan dan teknologi maklumat dalam mendidik masyarakat pasca digital.

Program itu merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Menterinya, K. Saraswathy dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button