BERITA SEMASARENCANA

Generasi baharu pustakawan serantau jayakan semangat perkongsian ilmu di CONSAL XIX

DI sebalik perbincangan dasar dan hala tuju perpustakaan serantau, Kongres Pustakawan Asia Tenggara Ke-19 (CONSAL XIX) turut membuka ruang kepada generasi baharu pustakawan dan akademik muda untuk tampil dan bersuara di pentas antarabangsa.

Bagi Richard Togaranta Ginting, 35, pensyarah dari Universiti Udayana, Bali, penyertaannya bersama lima orang mahasiswa ke kongres itu merupakan peluang keemasan untuk membuka horizon baharu dalam bidang kepustakawanan.

Richard berharap dapat membina wawasan baharu mengenai dunia kepustakawanan di rantau Asia Tenggara.

“Kami sangat gembira disambut oleh CONSAL Malaysia. Melalui program ini, kami berharap dapat memperoleh wawasan baru tentang dunia perpustakaan, khususnya di Asia Tenggara.

“Harapan kami, semoga komuniti CONSAL Federation menjadi lebih kuat dan memberi pengaruh yang baik untuk masa depan dunia yang lebih cerah,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Richard turut menghargai usaha komuniti pustakawan Malaysia yang memberikan pendaftaran percuma kepada delegasi pelajar dari Bali, sekali gus membolehkan mereka menyertai kongres berprestij tersebut.

Sementara itu, pelajar kedoktoran dari Universiti Yangon, Myanmar, Khin Thazin Myint menyifatkan penyertaannya sebagai pembentang di CONSAL XIX sebagai pengalaman yang mengubah perspektif.

Beliau yang pertama kali ke luar negara tanpa ditemani keluarga, tampil penuh yakin membentangkan hasil kajian akademiknya.

Thazin Myint hadir sebagai peserta dan pembentang kertas kerja pada kongres ini.

“Saya sangat teruja kerana dapat menyertai acara sebesar ini. Ia bukan sahaja peluang untuk berkongsi ilmu, tetapi juga medan untuk belajar cara menulis dan menghantar kertas kerja secara profesional.

“Saya harap dapat terus menyertai acara seperti ini pada masa depan,” katanya.

BACA : CONSAL XIX: Platform ASEAN Library menerajui inklusiviti dan perpaduan ilmu

BACA : Perpustakaan bukan sekadar monumen buku tapi gedung ilmu yang hidup

Tambah Thazin Myint, beliau pernah menjadi sukarelawan semasa Myanmar menjadi tuan rumah CONSAL di Naypyidaw, namun kali ini kehadirannya sebagai pembentang membawakan dimensi berbeza yang penuh makna.

Turut berkongsi keterujaan ialah Illinois Lachica, 25, pustakawan dari Enverga Library di Tagalog, Filipina yang menyertai CONSAL buat pertama kali.

Lachicha teruja dapat berkunjung ke Malaysia buat kali pertama untuk menimba ilmu dalam bidang pustakawan.

“Saya sangat gembira dapat menyertai acara bersifat antarabangsa sebegini.

“Ini juga kunjungan pertama saya ke Malaysia dan saya amat teruja untuk belajar sesuatu yang baharu serta berkolaborasi dengan pustakawan dari negara lain. Terima kasih kepada CONSAL kerana menganjurkan acara yang luar biasa ini,” ujarnya ringkas.

CONSAL atau Congress of Southeast Asian Librarians merupakan platform profesional serantau yang ditubuhkan sejak tahun 1970 bertujuan memperkukuh jaringan perpustakaan di Asia Tenggara.

Kongres itu diadakan setiap tiga tahun dan menghimpunkan para pustakawan, penggubal dasar, penyelidik dan profesional maklumat daripada 10 negara ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

CONSAL menjadi medan perkongsian ilmu, amalan terbaik dan strategi inovatif dalam dunia kepustakawanan yang sentiasa berubah mengikut perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat.

Kongres yang dianjurkan tiga tahun sekali ini berjaya menghimpunkan 1200 peserta dari Asia Tenggara.

Selain sesi pembentangan kertas kerja dan forum, CONSAL juga merangkumi perbincangan kolaboratif rentas negara serta promosi inisiatif seperti Perpustakaan Digital ASEAN (ASEAN Digital Library).

Tahun ini, CONSAL XIX yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Kementerian Perpaduan Negara mengetengahkan tema ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’.

Ia selaras dengan aspirasi untuk menjadikan perpustakaan sebagai pemacu pembelajaran sepanjang hayat yang merangkumi semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Lebih daripada sekadar persidangan, CONSAL XIX menjadi ruang menyemai semangat perpaduan serantau, merentas sempadan geografi dan budaya.

Dengan lebih 1,200 peserta dari dalam dan luar ASEAN serta hampir 90 pembentangan kertas kerja, kongres itu mencerminkan tekad bersama untuk menjadikan perpustakaan sebagai teras perubahan masyarakat yang inklusif, celik maklumat dan berbudaya ilmu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button