BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

CONSAL XIX: Platform ASEAN Library menerajui inklusiviti dan perpaduan ilmu

KONGRES Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) menyerlahkan peranan perpustakaan sebagai institusi dinamik yang bukan sekadar tempat menyimpan buku, tetapi juga mendepani perubahan zaman dan memperjuangkan akses ilmu secara inklusif dan menyeluruh.

Bertemakan ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’, kongres anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) ini menghimpunkan seramai 1,200 peserta dari negara ASEAN dalam usaha merapatkan jurang ilmu serta memperkukuh jaringan perpustakaan serantau.

Perdana Menteri menyeru golongan pustakawan meneroka pendekatan baharu untuk memupuk budaya membaca dan menyampaikan ilmu secara lebih meluas terutama kepada generasi muda.

Perasmian kongres tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru agar pustakawan tidak lagi terikat pada peranan konvensional, sebaliknya meneroka pendekatan baharu untuk memupuk budaya membaca dan menyampaikan ilmu secara lebih meluas, terutama kepada generasi muda.

“Peranan pustakawan bukan sekadar mengumpul buku dan menyusunnya di dalam almari kaca. Ia adalah untuk menjadikan perpustakaan sebagai sumber penting yang mampu meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada para pembaca,” kata beliau.

BACA : Perpustakaan bukan sekadar monumen buku tetapi gedung ilmu yang hidup – PM

Perpustakaan Lambang Keadilan Ilmu

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya turut menekankan kepentingan peranan perpustakaan sebagai ‘lambang keadilan ilmu’ kerana ia ruang demokratik yang menawarkan akses pengetahuan tanpa diskriminasi.

“Perpustakaan moden telah berkembang menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat, repositori warisan budaya dan gerbang kepada sumber digital terbuka,” katanya.

Menteri Perpaduan menekankan kepentingan peranan perpustakaan sebagai ‘lambang keadilan ilmu’ kerana ia ruang demokratik yang menawarkan akses pengetahuan tanpa diskriminasi.

Tambah beliau, dalam era digital masa kini, akses kepada internet dan celik digital telah menjadi komponen penting dalam pembinaan ilmu yang inklusif.

Namun begitu tegasnya, jurang digital masih merupakan isu yang nyata dan mendesak di seluruh Asia Tenggara.

Sehubungan itu, perpustakaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyediakan akses internet secara percuma atau mampu milik, kemudahan digital serta program latihan.

ASEAN Digital Library: Jambatan Ilmu Serantau

“Dalam usaha kolektif kita untuk memperluas akses kepada ilmu secara inklusif dan saksama, salah satu inisiatif serantau yang paling menjanjikan dan berpandangan jauh ialah Perpustakaan Digital ASEAN atau ASEAN Digital Library (ADL).

“Platform ini menjadi contoh jelas tentang apa yang boleh kita capai apabila negara-negara kita berganding bahu dengan komitmen bersama untuk memelihara, berkongsi dan mendemokrasikan ilmu,” jelas beliau.

Sebahagian delegasi dari Filipina yang menyertai CONSAL XIX kali ini.

Perpustakaan Digital ASEAN merupakan sebuah platform digital kolaboratif yang menghimpunkan metadata daripada perpustakaan kebangsaan negara-negara anggota ASEAN.

Walaupun sistem itu masih dalam proses pengembangan, ia telah pun membolehkan akses rentas sempadan kepada puluhan ribu bahan digital termasuk manuskrip langka, buku, artifak budaya, imej, akhbar dan banyak lagi.

Menurut Aaron Ago lagi, Malaysia sendiri telah melakar kemajuan signifikan menerusi platform u-Pustaka, satu inisiatif perpustakaan digital kebangsaan yang membolehkan rakyat mengakses pelbagai sumber bacaan fizikal dan digital termasuk e-buku, buku audio, jurnal serta penerbitan kerajaan secara percuma melalui laman www.u-pustaka.gov.my.

RERUAI u-Pustaka iaitu inisiatif perpustakaan digital kebangsaan yang dibuka sempena penganjuran kongres tersebut.

Sebanyak 89 Kertas Kerja Dibentangkan Sempena CONSAL XIX

Dalam pada itu, sebanyak 89 kertas kerja dibentangkan dalam kongres tersebut yang melibatkan tokoh dan pakar pelbagai bidang.

Perbincangan meliputi peranan perpustakaan dalam memperkasakan komuniti inklusif, menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta memperluas ekosistem ilmu kepada golongan terpinggir seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan komuniti luar bandar.

Kongres Consal XIX yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun menghimpunkan 1,200 orang peserta terdiri daripada pustakawan, akademik dan pakar maklumat dari seluruh Asia Tenggara bagi membincangkan masa depan perpustakaan dan teknologi maklumat dalam mendidik masyarakat pasca digital.

Kongres itu juga membincangkan cabaran dan peluang dalam era pendigitalan, seiring perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Dalam dunia pasca-pandemik dan ketidaktentuan geopolitik, perpustakaan dilihat bukan sahaja sebagai tempat mencari maklumat, tetapi sebagai institusi pemulih masyarakat yang menawarkan ketenangan, kebijaksanaan dan jalinan sosial yang kukuh.

Mengangkat Martabat Pustakawan Serantau

Sebagai satu-satunya platform konsisten yang menghimpunkan komuniti perpustakaan di Asia Tenggara sejak tahun 1970, CONSAL kini menjadi nadi penting dalam memperjuangkan pembaharuan dan kebolehaksesan ilmu pengetahuan.

CONSAL merupakan platform konsisten yang menghimpunkan komuniti perpustakaan di Asia Tenggara sejak tahun 1970.

Dengan penyertaan negara-negara seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, kongres itu bukan sahaja menonjolkan perpaduan serantau, malah membuka ruang dialog yang membina untuk masa depan pendidikan dan pembangunan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button