
Lima ikon lahir daripada Program Anjung Sinar YKN
PULAU CAREY – Program Anjung Sinar anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) terus menunjukkan impak positif apabila berjaya melahirkan lima ikon cemerlang mewakili kategori Pendidikan, Kepimpinan, Komuniti, Kerjaya dan Sukarelawan.
Kelima-lima individu tersebut merupakan antara peserta terbaik yang mengikuti program itu sejak tahun 2023 dan dipilih berdasarkan pencapaian serta sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing.
Majlis pengiktirafan itu disampaikan dalam Majlis Apresiasi dan Penghargaan Rakan Strategik Program Anjung Sinar 2025 yang berlangsung di The Grand Ballroom, Amverton Cove Golf & Island Resort di sini, semalam.Majlis disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN.
Beliau berkata, Anjung Sinar merupakan satu model intervensi sosial berstruktur yang memberi peluang kepada anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membina jati diri, keyakinan dan kemahiran hidup sebagai persediaan ke alam dewasa.
“Anjung Sinar bukan sekadar program latihan, sebaliknya satu ekosistem sokongan menyeluruh yang membentuk peserta daripada segi emosi, fizikal, intelektual dan rohani.
“Ia adalah pelaburan jangka panjang yang memberi ruang untuk mereka bangkit dan menyinar,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Tambah beliau, sejak dilaksanakan, program itu telah memberi manfaat kepada 615 peserta menerusi pelaksanaan berfasa yang merangkumi Transisi, Transformasi dan Integrasi, berpandukan modul khas yang dibangunkan oleh pegawai KPWKM dengan input bekas peserta institusi JKM.
Bagi tahun ini, seramai 128 peserta dari 24 institusi JKM seluruh negara telah menyertai Boot Camp Transisi Dinamik selama empat hari di Pulau Carey yang merangkumi pelbagai aktiviti pembangunan diri, latihan kemahiran hidup, pendedahan kerjaya serta pengukuhan jati diri.
Nancy turut menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), PERKESO dan MARA atas kerjasama dari segi pendidikan, latihan serta pemadanan pekerjaan.
“Dengan penglibatan pelbagai pihak, Anjung Sinar telah membuktikan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan. Yang penting adalah peluang, sokongan dan bimbingan berterusan,” katanya lagi.
Majlis turut meraikan kejayaan 24 peserta yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2024, termasuk beberapa yang mencatat 8A dan kini menyambung pengajian ke peringkat matrikulasi dan institusi pengajian tinggi tempatan.
Program berkenaan bukan sahaja membuktikan kejayaan pendekatan yang dilaksanakan YKN, malah menjadi platform harapan buat anak-anak muda lepasan JKM untuk mengorak langkah ke masa depan lebih cerah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |