BERITA SEMASA

Lebih 50 tetamu kenduri kahwin jatuh ke sungai akibat jambatan gantung runtuh di Kuala Krai

KUALA KRAI – Lebih 50 orang tetamu yang menghadiri majlis kenduri berdepan detik cemas apabila jambatan gantung yang digunakan runtuh mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, seorang lelaki dilaporkan patah kaki selepas terjatuh di atas batu, manakala seorang kanak-kanak mengalami kecederaan di kepala dan tiga lagi mangsa cedera ringan serta sesak nafas.

Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika rombongan pengantin lelaki bertembung dengan tetamu pengantin perempuan di atas jambatan gantung berkenaan.

Titi runtuh
Mohd Zaki bersama pasangan pengantin.

“Ketika kejadian, lebih 50 orang menggunakan titi gantung itu pada masa yang sama.

“Rombongan pengantin lelaki dari Pasir Puteh sedang beredar manakala tetamu pengantin perempuan pula baru tiba,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Beliau berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, panggilan kecemasan telah dibuat dan empat ambulans dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, dua ambulans dari Hospital Sultan Ismail Petra manakala selebihnya daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai.

Titi runtuh
Tetamu yang terjatuh ke dalam sungai naik ke tebing selepas insiden tersebut.

Mohd Zaki memaklumkan semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Setakat ini, hanya lelaki yang mengalami patah kaki masih dirawat di hospital manakala mangsa lain telah dibenarkan pulang.

“Kanak-kanak yang cedera di kepala turut menerima beberapa jahitan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Fauzi Abdullah turut hadir meninjau lokasi kejadian pada petang semalam dan memberi jaminan bahawa kerja-kerja baik pulih jambatan gantung tersebut akan dilaksanakan segera.

Menurut Mohd Zaki, jambatan gantung berkenaan telah beberapa kali dibaiki sebelum ini kerana ia merupakan laluan utama penduduk di lima buah rumah di kawasan terbabit.

Beliau berkata, laluan itu hanya boleh digunakan oleh pejalan kaki dan penunggang motosikal, manakala laluan darat alternatif lebih jauh dan hanya sesuai dilalui motosikal.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tali pengikat jambatan gantung yang ditanam dalam simen sudah uzur dan perlu diganti baharu.

“Insya-Allah pada Ahad ini, pihak kami akan mengangkat perkara ini kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan peruntukan segera untuk kerja-kerja baik pulih,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button