BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerja naik taraf jejas operasi tren, KTMB tawar diskaun 50 peratus

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merakam permohonan maaf kepada pengguna perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter Lembah Klang yang terkesan akibat kelewatan operasi susulan kerja-kerja menaik taraf sistem semboyan di beberapa laluan utama.

Menurut kenyataan KTMB, kerja penyelenggaraan melibatkan jajaran antara Stesen Kepong dan Stesen Salak Selatan, dan telah bermula sejak 30 Mei lalu.

“Ia merupakan sebahagian daripada Projek Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 1 (KVDT 1), yang bertujuan mempertingkatkan tahap kecekapan, keselamatan serta kebolehpercayaan sistem semboyan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek penaiktarafan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2 Jun 2025.

“Bagi meringankan beban penumpang yang terjejas, KTMB menawarkan diskaun tambang sebanyak 50 peratus untuk semua kategori tiket KTM Komuter Lembah Klang, termasuk tiket konsesi.

“Tawaran ini akan berkuat kuasa selama dua hari, bermula 3 hingga 4 Jun ini.

“Langkah ini sebagai tanda keprihatinan terhadap para penumpang yang terkesan sepanjang tempoh gangguan. KTMB memohon maaf atas segala kesulitan dan sedang berusaha untuk menstabilkan semula perkhidmatan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, penumpang ETS yang terkandas di beberapa lokasi termasuk Stesen KL Sentral menerima bantuan segera dalam bentuk air minuman dan makanan ringan.

“Notifikasi kelewatan juga dihantar secara terus menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS).

“Bagi memastikan kelancaran operasi di lapangan, kakitangan KTMB turut ditempatkan di stesen-stesen utama bagi menguruskan aliran penumpang dan membantu menyalurkan maklumat secara langsung.

“Langkah proaktif ini diambil bagi mengurangkan kesan gangguan serta memastikan pengguna terus mendapat bantuan sewajarnya,” ujarnya.

Perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral–Butterworth; KL Sentral–Padang Besar; Segamat–Padang Besar dan Segamat–Butterworth dilaporkan mengalami kelewatan melebihi dua jam.

“Perkhidmatan KTM Komuter turut terjejas, membabitkan laluan Pulau Sebang–Batu Caves dan Tanjung Malim–KL Sentral.

“Sehubungan itu, KTMB menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh penyelenggaraan ini.

Pengguna digalakkan menyemak jadual terkini melalui aplikasi KTMB Mobile, laman web MyRailtime serta mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB bagi mendapatkan makluman dan perkembangan semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button