Jabatan agama negeri siasat video tular papar lelaki seperti bersilat di kawasan perkuburan
KOTA TINGGI – Pihak jabatan agama negeri sudah mengarahkan siasatan dijalankan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang lelaki bersilat di kawasan perkuburan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar berkenaan insiden itu diperoleh.
Jelas beliau, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, sudah mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video tular berkenaan untuk memastikan tiada unsur bercanggah dengan adab dilakukan di tanah perkuburan.
“Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada exco agama negeri yang mengambil tindakan awal dan pantas untuk mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang menjalankan siasatan daripada semua sudut.
“Janganlah kita berspekulasi kerana jika siasatan mendapati individu itu mengalami gangguan mental, maka kita perlu merujuknya untuk mendapatkan rawatan dan membaiki diri beliau. Sebab beliau juga anggota masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Hijrah 2025 di Dewan Orang Ramai Kampung Felda Air Tawar 2.
Mohd Na’im turut menegaskan, perbuatan bersilat atau melakukan sesuatu yang tidak wajar di kawasan kubur tidak boleh diterima dalam agama Islam.
“Ziarah kubur adalah disunahkan untuk mengingati mati dan setiap perbuatan di kawasan kubur harus dilakukan dengan menghormati waris serta menepati batas-batas akidah.
“Masyarakat Islam yang tidak pasti mengenai hukum sesuatu perbuatan hendaklah merujuk kepada pihak berilmu dan berautoriti seperti Jabatan Mufti Johor bagi memastikan tindakan mereka tidak melanggar akidah Islam,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 28 saat yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki seperti bersilat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







