BERITA SEMASASUKAN

Tanggungjawab cari bakat atlet para kini di bawah Majlis Sukan Negeri – Hannah

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan langkah baharu bagi memperkasakan pembangunan sukan orang kurang upaya (OKU) di negara ini dengan menyerahkan tanggungjawab pencarian bakat atlet para kepada Majlis Sukan Negeri (MSN).

Menurut beliau, sebelum ini peranan itu digalas oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), namun perubahan itu dibuat bagi membolehkan pencarian bakat dilakukan secara lebih dekat di peringkat akar umbi dan negeri.

“Kalau kita lihat populasi OKU sepatutnya 15 peratus daripada populasi tapi yang berdaftar hanya 2.2 peratus tak cukup dan mungkin stigma atau mereka rasa tidak perlu daftar jadi ia sukar untuk kita cari bakat baharu,” katanya.

Hannah berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Sukan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025 di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.

Baca juga : KBS tidak campur urusan dalaman persatuan sukan – Hannah Yeoh

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 250 peserta termasuk wakil negara-negara ASEAN, ahli akademik, NGO, atlet serta aktivis sukan.

Bertemakan ‘Inclusive Sports for All: Breaking Barriers, Building Bridges in ASEAN’ persidangan tersebut selari dengan aspirasi Kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, kreativiti dan keadilan sosial.

Antara fokus utama persidangan ialah promosi pendidikan sukan inklusif, pengurusan kemudahan mesra OKU, pembentangan kajian akademik serta perkongsian pengalaman atlet dari peringkat akar umbi hingga antarabangsa.

Para
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) menghadiri Persidangan Sukan Orang Kurang Upaya ASEAN 2025 di Putrajaya hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Hannah berkata, syarikat swasta seperti Decathlon, Allianz dan Pos Malaysia telah tampil membantu dengan menaja kelengkapan sukan, sekali gus mengurangkan beban kos dan membuka lebih banyak ruang akses kepada atlet OKU.

“Saya mahu setiap pelajar tahu berenang apabila tamat sekolah. Ini sebahagian daripada hasrat besar kita untuk melihat OKU diberi peluang sama rata.

“Insentif pelepasan cukai RM1,000 kepada ibu bapa yang menyokong penyertaan anak-anak dalam sukan juga diharap dapat galakkan lebih banyak penyertaan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Hannah turut menegaskan keperluan agar persatuan sukan tidak hanya bergantung kepada atlet sedia ada yang sudah terbukti cemerlang, sebaliknya lebih proaktif dalam mencari bakat baharu bagi menjamin kesinambungan kejayaan sukan para negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button