Aktivis Global Sumud Flotilla mogok lapar tuntut rawatan untuk tahanan sakit
KUALA LUMPUR — Seorang aktivis antarabangsa dari Brazil, Thiago Avila dilapor mengadakan mogok lapar dan enggan menerima makanan mahupun minuman selepas ditahan tentera Israel bersama peserta lain misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Perkara itu dikongsikan Ketua Misi Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi satu hantaran di Facebook yang memetik sumber dari dalam penjara rejim berkenaan.

Menurut Nadir, Thiago hanya akan minum sekiranya semua aktivis yang sakit diberikan ubat-ubatan yang mereka perlukan.
“Berita dari dalam: Thiago mengadakan mogok lapar makanan dan air, hanya akan minum sekiranya semua peserta sakit diberi ubat yang mereka perlukan,” tulis Nadir.
Tindakan nekad aktivis itu mencetuskan gelombang sokongan dalam kalangan warganet yang menzahirkan rasa kagum terhadap keberanian dan semangat juang mereka, termasuk menjadi aktivis dalam kalangan bukan Islam yang sanggup berkorban demi keadilan buat rakyat Gaza.
Pengguna Facebook, Rahamah Baba, berkata beliau terharu melihat pengorbanan besar aktivis-aktivis antarabangsa yang memperjuangkan hak rakyat Palestin tanpa mengira agama.
“Besarnya pengorbanan mereka buat saudara Islam kita di Gaza meskipun mereka non-Muslim! Ada orang Islam di Malaysia pula, minta boikot produk Israel pun tak mahu!” tulisnya.
Sementara itu, Wan Afifah Wan Ghazali pula mendoakan keselamatan dan pembebasan segera semua aktivis yang masih ditahan oleh tentera Israel.
“Ya Allah, lindungilah Greta, Thiago, Yasemin dan semua aktivis yang masih ditahan. Moga mereka cepat dibebaskan. Amin,” katanya.
Bagi Bustaman Salleh, semangat dan ketabahan aktivis antarabangsa itu menjadi bukti bahawa perjuangan kemanusiaan merentasi batas agama dan bangsa.
“Allahu … kentalnya mereka perjuangkan kemanusiaan. Cuma sesetengah jenis di Malaysia je yang buta mata dan hati,” katanya.
Misi GSF yang membawa aktivis dan bantuan kemanusiaan dari pelbagai negara dilaporkan ditahan oleh tentera laut Israel pada minggu lalu ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza.
Setakat ini, beberapa organisasi kemanusiaan antarabangsa termasuk Freedom Flotilla Coalition dan ADALAH iaitu pusat undang-undang yang berpangkalan di Israel sedang berusaha mendapatkan akses undang-undang dan rawatan perubatan bagi para tahanan.
Terdahulu kesemua 23 aktivis Malaysia yang ditahan telah dilepaskan dan kini berada di Istanbul, Turkiye sebelum dihantar pulang ke tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






