BERITA SEMASA

AI jadi ancaman baharu, kanak-kanak makin terdedah kepada imej lucah palsu

KUALA LUMPUR – Jenayah bahan lucah kini berada pada tahap membimbangkan apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) disalahgunakan untuk menghasilkan gambar serta video bogel palsu, sekali gus membuka ruang eksploitasi seksual kanak-kanak dengan lebih agresif.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman, Superintenden Koh Jok Tian berkata, kemampuan AI mengubah wajah mangsa ke dalam imej tidak senonoh menyebabkan kes-kes berkaitan semakin meningkat.

Menurutnya, pihak polis pernah menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang terlibat dalam kumpulan tertutup berasaskan perkongsian bahan lucah, termasuk imej rakan-rakan sekolah yang dicuri daripada media sosial.

“Apabila kami periksa peranti yang dirampas, terdapat banyak gambar rakan sekolah yang diambil daripada media sosial dan disunting menggunakan aplikasi tertentu. Gambar-gambar itu kemudian dimuat naik ke dalam kumpulan tertentu yang dianggotai ramai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah berkaitan eksploitasi kanak-kanak dalam talian sempena Karnival Mega Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di pusat beli belah IOI Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Koh berkata, wujud juga trend penjenayah mengumpul gambar dan video daripada laman sosial sebelum menubuhkan kumpulan berbayar, termasuk mengenakan bayaran sekitar RM5 untuk ahli yang mahu melihat kandungan tersebut.

“Dalam satu kes terdahulu, seorang pelajar tingkatan lima berjaya mengumpul sehingga 76 orang ahli dalam masa sembilan bulan menerusi kumpulan sebegini. Ini menunjukkan betapa seriusnya penyalahgunaan teknologi dalam kalangan remaja,” katanya.

Dalam pada itu, bagi melindungi kanak-kanak, Koh berkata, ibu bapa digalakkan mengenali aplikasi yang digunakan anak, menetapkan syarat menyemak peranti, menghadkan masa skrin serta memastikan peranti sentiasa berada di ruang keluarga.

“Ibu bapa perlu mendidik anak mengenai etika digital dan menyimpan bukti sekiranya berlaku gangguan. Ingatkan anak-anak agar berhati-hati terhadap permintaan gambar atau video, tidak mudah percaya akaun palsu, menyemak tetapan privasi dan mengelakkan perkongsian lokasi atau jadual harian,” katanya.

Koh berkata, aduan berkaitan jenayah seksual digital boleh disalurkan melalui PDRM, D11 Bukit Aman, SKMM, Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-2615999 serta laporan antarabangsa melalui pautan khusus disediakan.

Sementara itu, Koh menegaskan, kerjasama antara PDRM, CyberSecurity Malaysia, MCMC, Grob Pay, serta Interpol juga perlu terus dipertingkat bagi memerangi rangkaian global eksploitasi kanak-kanak.

“Melalui usaha bersepadu itu, pihak berkuasa yakin dapat mengukuhkan keselamatan digital masyarakat, sekali gus mengekang ancaman jenayah yang semakin kompleks dalam era AI,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button