
Belanjawan 2027 pastikan manfaat pertumbuhan ekonomi sampai kepada rakyat – Amir Hamzah
Belanjawan 2027 pastikan manfaat pertumbuhan ekonomi sampai kepada rakyat – Amir Hamzah
KUALA LUMPUR – Kesejahteraan rakyat melalui usaha menangani kos sara hidup, memperbaiki kualiti pekerjaan dan meningkatkan pendapatan menjadi antara keutamaan kerajaan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pertumbuhan ekonomi negara yang semakin positif perlu disusuli dengan manfaat nyata yang dapat dirasai rakyat, bukan sekadar ditunjukkan melalui pencapaian angka ekonomi.
Menurutnya, perkembangan ekonomi negara ketika ini menunjukkan momentum memberangsangkan susulan pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI sejak empat tahun lalu.
Beliau berkata, antara pencapaian yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran sekitar tiga peratus serta inflasi pada paras 1.9 peratus.
“Bagaimanapun pencapaian menerusi angka ekonomi semata-mata tidak memadai sekiranya manfaatnya tidak diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
“Usaha kita dalam Belanjawan 2027 adalah untuk memastikan limpahan akan turun kepada rakyat kerana kita telah berjaya menjadi satu negara perdagangan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, penyediaan belanjawan berkenaan turut mengambil kira pandangan dan maklum balas pelbagai pihak yang dikumpulkan menerusi sesi jelajah serta perbincangan sepanjang proses merangka perancangan kewangan negara.
“Kerajaan juga memberi perhatian kepada penambahbaikan tadbir urus bagi memastikan hasil negara dapat diurus dengan lebih berkesan dan disalurkan semula kepada rakyat.
“Pelaksanaan Belanjawan 2027 memerlukan komitmen bersama, bukan sahaja daripada kementerian dan agensi kerajaan, malah turut melibatkan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi masyarakat sivil.
“Asas ekonomi yang dibangunkan sejak empat tahun lalu perlu terus diperkukuh bagi memperluas peluang ekonomi dan memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








