BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bekalan makanan asas cukup hadapi Tahun Baharu Cina, Ramadan – KPKM

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan makanan asas negara berada pada tahap mencukupi dan stabil bagi menampung keperluan domestik sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang bakal menjelang.

Menurut kementerian itu, berdasarkan pemantauan data semasa, pengeluaran barangan makanan utama seperti telur, daging ayam, daging lembu, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan di seluruh negara adalah stabil dan mampu memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, tumpuan turut diberikan kepada aspek pengurusan dan pemerkasaan di peringkat sumber pengeluaran bagi memastikan kesinambungan bekalan sentiasa terjamin, meskipun dijangka berlaku peningkatan permintaan sempena musim perayaan.

“Kerajaan komited memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses kepada bekalan makanan mencukupi tanpa perlu bimbang terhadap isu kekurangan di pasaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, bermula 1 Januari hingga 8 Februari lalu, sebanyak 478 program Jualan Agro Madani (JAM) telah dilaksanakan di seluruh negara.

Melalui program berkenaan, rakyat berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas terpilih pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

Menurut KPKM, bagi menyambut Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Pra-Syawal sepanjang Februari dan Mac ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menganjurkan 572 program JAM di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 430 program diadakan di outlet peruncitan FAMA manakala 142 lagi di premis kerajaan serta kawasan perumahan terpilih.

Program berkenaan menawarkan pelbagai bekalan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, telur serta barangan runcit pada harga lebih rendah, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna sepanjang musim perayaan dan Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button