
Rakyat diseru perkukuh perpaduan sempena Tahun Baharu Cina
KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu padu dan meraikan kepelbagaian budaya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Beliau berkata, Tahun Baharu Cina bukan sekadar menandakan peralihan tahun, sebaliknya waktu untuk rakyat merenung, bersyukur dan memperbaharui harapan demi masa depan negara.
“Tahun ini, kita melangkah ke Tahun Kuda yang melambangkan kekuatan, ketekunan dan kesetiaan. Nilai-nilai ini wajar dijadikan panduan dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh bukan kerana keseragaman, tetapi kerana rakyat belajar hidup dalam perbezaan dengan rasa hormat.
“Kita berbeza budaya, bahasa dan kepercayaan, namun tetap satu keluarga besar Malaysia,” katanya lagi.
Menteri itu turut mengingatkan rakyat tentang peranan media sosial dalam kehidupan seharian.
“Setiap perkongsian ada kesan. Jari kita mampu menyembuh, atau merobek hubungan sesama rakyat. Ingat, setiap perkongsian ada impaknya,” katanya lagi.
Aaron mengajak rakyat memilih untuk berbicara dengan empati, berkongsi dengan kebijaksanaan dan berbeza pandangan dengan adab, sebagai asas mengekalkan keharmonian negara.
Mengakhiri hantaran, beliau mengucapkan Gong Xi Fa Cai dan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya, sambil menekankan pentingnya perpaduan demi masa depan negara yang aman, bersatu dan penuh harapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








