JENAYAH & MAHKAMAH

Bapa, anak angkat antara empat ditahan kes peras ugut warga asing

KLUANG – Seorang wanita bersama bapa angkatnya yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau antara empat individu ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan memeras ugut warga asing di Flat Haji Manan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Bahrin Mohd Noh berkata, keempat-empat suspek berusia antara 24 hingga 50 tahun ditahan susulan laporan yang diterima pada jam 4.45 pagi kelmarin.

Menurutnya, ketika tangkapan dilakukan, wanita berkenaan dipercayai menyamar sebagai isteri kepada suspek kedua.

“Bagaimanapun hasil soal siasat mendapati wanita itu sebenarnya adalah anak angkat kepada lelaki terbabit yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau.

“Semakan turut mendapati suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah, namun suspek ketiga dan keempat masing-masing mempunyai empat dan 10 rekod berkaitan jenayah serta dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Dalam perkembangan berasingan, Bahrin berkata dua lelaki turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah pejabat di kaki Gunung Lambak, di sini.

Menurutnya, tangkapan terhadap dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun itu dibuat pada jam 12.30 tengah malam selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian yang berlaku pada jam 7.57 petang Jumaat lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button