Padah ugut bakar rumah peminjam, ejen ‘ah long’ dijatuhi hukuman penjara, denda
BATU PAHAT – Seorang ejen ‘ah long’ dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mengugut mahu membakar rumah seorang warga emas kerana didakwa gagal melunaskan pinjaman wang.
Hukuman diputuskan oleh Majistret Arun Noval Dass terhadap tertuduh, Kylee Choo Hsien Xin, 25, yang turut berdepan tambahan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda yang ditetapkan.
Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan telah membayar denda RM5,000 yang dikenakan oleh mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang masih bujang dan kini tidak bekerja itu didakwa membuat ugutan jenayah melalui sekeping nota bagi melakukan khianat terhadap kediaman seorang warga emas berusia 67 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Selatan Yong Peng, pada pukul 3 pagi pada 7 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 506 kanun sama, di mana kedua-dua peruntukan itu membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menemukan notis ugutan bertulis tangan yang ditampal di hadapan rumahnya pada pukul 6 pagi hari kejadian.
Pada masa sama, bahagian hadapan rumah warga emas itu turut disimbah cat merah sebelum laporan polis dibuat.
Susulan laporan berkenaan, polis menahan tertuduh pada 23 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Hasil analisis perbandingan tulisan tangan oleh makmal forensik polis mengesahkan nota ugutan itu ditulis oleh tertuduh sebelum ditampal pada pintu pagar rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















