Bangunan tular didakwa didiami etnik Rohingya akan dirobohkan – Pegawai Daerah Hulu Langat
HULU LANGAT – Sebuah bangunan kediaman bertingkat yang menjadi tular kerana didakwa didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat, di sini, akan dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang sudah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat mengambil perhatian terhadap dakwaan yang tular di media sosial berhubung kewujudan bangunan kediaman bertingkat itu.
“Semakan mendapati struktur tersebut sebahagian besarnya terletak di atas lot tanah milik individu yang mempunyai syarat nyata bagi rumah kediaman, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.
“Turut dikenal pasti beberapa struktur kediaman lain dibina tanpa kebenaran di atas lot berkenaan serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai dan pernah didiami penduduk etnik Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Jusni berkata, PDT Hulu Langat sudah mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur terbabit pada 2017, 2020, 2021 dan yang terbaru pada 13 Mac lalu kerana kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
“Malah, operasi perobohan bersepadu pernah dijalankan pada 2017 membabitkan kerjasama beberapa agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
MPKj turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis dan tawaran kompaun pada 2016, 2017, 2019 serta 2021 kerana pembinaan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, katanya, LUAS turut membuka kertas siasatan tahun ini di bawah Enakmen LUAS 1999 bagi membolehkan tindakan pengkompaunan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kelulusan.
“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.
Mohd Jusni berkata, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor juga menjalankan operasi bersama PDRM pada 28 Februari lalu yang membawa kepada penahanan 42 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Beliau menegaskan, PDT Hulu Langat bersama agensi penguatkuasaan daerah akan terus melaksanakan tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan mengikut lunas undang-undang ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















