BERITA SEMASA

Struktur binaan haram etnik Rohingya di Hulu Langat mula diroboh

HULU LANGAT – Struktur binaan tanpa kebenaran yang dipercayai didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat mula dirobohkan secara berperingkat sejak 13 Jun lalu.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, tindakan itu dilaksanakan oleh pemilik tanah susulan perbincangan dan penyelarasan yang dibuat bersama pelbagai agensi kerajaan berhubung isu berkenaan.

“Tindakan perobohan struktur-struktur berkaitan bermula dengan struktur yang berada di atas rizab sungai dan rizab jalan terlebih dahulu.

“Pemilik tanah akan mendapatkan kebenaran daripada PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) bagi merobohkan struktur bangunan kediaman bertingkat dengan mengambil kira aspek teknikal dan keselamatan yang perlu dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menambah, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Berkaitan Struktur Binaan Tanpa Kebenaran di Kampung Baru Sungai Makau 10 Jun lalu yang dipengerusikannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz serta wakil agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan tindakan penguatkuasaan yang telah dilaksanakan dan langkah susulan yang perlu diambil.

“Keluasan tapak struktur yang terlibat dianggarkan seluas 1,845 meter persegi merangkumi binaan struktur kediaman bertingkat serta beberapa unit binaan setingkat yang didirikan di atas tanah persendirian dan tanah kerajaan termasuk rizab sungai serta rizab jalan.

“Mesyuarat turut dimaklumkan bahawa anggaran kos siling bagi kerja-kerja perobohan adalah sebanyak RM600,000.

“Kos tersebut merangkumi kerja perobohan keseluruhan struktur, pembersihan kawasan serta kerja membaik pulih tebing sungai yang terkesan,” katanya lagi.

Terdahulu, isu penempatan dan struktur binaan tanpa kebenaran yang didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau mendapat perhatian masyarakat selepas tular di media sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button