AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASADALAM NEGERI

Aplikasi taranum al-Quran pertama di Malaysia dilancar secara rasmi

KUALA TERENGGANU – Seni bacaan al-Quran berlagu atau taranum kini melangkah ke satu dimensi baharu apabila aplikasi mudah alih Taranum al-Quran, yang pertama seumpamanya di negara ini, dilancarkan secara rasmi.

Timbalan Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, Profesor Madya Dr Abdul Hanis Embong berkata, aplikasi tersebut merupakan hasil penyelidikan UMT bersama syarikat teknologi pendidikan, Oxford EduVision (M) Sdn Bhd, dan boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play dan App Store.

“Aplikasi itu memuatkan pelbagai komponen pembelajaran seperti audio bacaan taranum oleh qari tersohor, video penerangan bertahap, latihan makhraj, e-buku dan modul interaktif sekali gus membuka akses baharu kepada pembelajaran kendiri seni bacaan al-Quran berlagu.

Taranum
Timbalan Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, Profesor Madya Dr Abdul Hanis Embong.

“Ini satu titik tolak revolusi pembelajaran taranum secara digital yang membolehkan orang awam mempelajari ilmu ini dengan lebih mudah, sistematik dan tersusun. Tidak hanya untuk golongan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Asas Taranum al-Quran Siri 1 yang berlangsung di Masjid Tengku Besar, Kampung Kubang Ikan, baru-baru ini.

Baca juga : Al-Quran ‘sahabat sejati’ yang sering dilupakan

Program anjuran bersama Pertubuhan Sahabat Al-Quran Terengganu dan Akademi Al-Quran Al-Hadi dengan kerjasama strategik Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menarik penyertaan lebih 160 peserta dari seluruh negeri termasuk kawasan pedalaman seperti Hulu Terengganu dan Dungun.

Seminar tersebut turut menggunakan Modul Asas Taranum al-Quran: Teori dan Praktikal dengan Panduan Video hasil penulisan Mudir Akademi Al-Quran Al-Hadi, Ustaz Abdul Hadi Che Abd Halim yang merupakan tokoh ternama dalam dunia tilawah al-Quran tempatan dan antarabangsa.

Menurut Abdul Hadi, modul tersebut bukan sekadar mengajar teknik lagu, tetapi menyusun pembelajaran dari asas hingga mahir dengan kefahaman mendalam terhadap maqam, nada dan struktur taranum yang sebenar.

“Seminar ini turut menekankan bahawa taranum bukanlah hiburan atau sekadar ‘memperlagukan’ bacaan secara semberono. Ia adalah seni bacaan yang berpaksikan adab dan disiplin tradisi Islam.

“Ini usaha serius dalam membendung penyalahgunaan melodi dalam bacaan al-Quran serta memperbetulkan persepsi masyarakat tentang seni ini yang sering disalah tafsir.

“Taranum bukan untuk menghibur. Ia satu bentuk ibadah yang memperindah bacaan al-Quran secara beradab dan terkawal, berbeza dengan nyanyian bebas atau irama tidak berlandaskan maqam seperti balada, jazz atau lagu popular yang tidak sesuai disatukan dengan al-Quran,” ujarnya.

Sementara itu, wakil penganjur, Ahmad Zaidi Mustaffa menyeru seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau tahap penguasaan untuk menyertai siri seminar akan datang serta memanfaatkan sepenuhnya aplikasi Taranum al-Quran sebagai alat bantu pembelajaran kendiri yang berkualiti dan mesra pengguna.

“Program ini dijadualkan berlangsung dalam tujuh siri, dengan siri kedua bakal diadakan pada Ogos di Hulu Terengganu dan siri ketiga pada September di Kampus UMT, Kuala Nerus.

“Dengan gabungan modul tersusun, bimbingan pakar dan sokongan digital, Seminar Asas Taranum al-Quran bukan sahaja membuka jalan baharu dalam pendidikan al-Quran, malah membuktikan bahawa seni taranum kini mampu dicapai oleh semua, dalam suasana yang lebih moden, beradab dan penuh hikmah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button