BERITA SEMASAPMX

Anwar serah mushaf Tarim kepada Habib Umar, santuni ulama terkemuka di Seri Perdana

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan naskhah Mushaf (Al-Quran) Tarim Riwayat ad-Duri ‘an Abi Amr wa al-Basri kepada ulama tersohor dunia, Al-‘Allamah Habib Umar bin Hafidz, Pengasas dan Pengetua Dar Al-Mustafa dari Tarim, Yaman.

Menurut Anwar, penyerahan mushaf itu melambangkan sempurnanya salah satu projek 1 Juta Al-Quran yang digerakkan kerajaan sebelum ini.

Anwar Kuliah Subuh Madani
Perdana Menteri melaksanakan solat Subuh berjemaah bersama Habib Umar yang diimamkan oleh Ustaz Abdul Karim Zakaria.

“Penyerahan Mushaf Tarim ini melambangkan satu lagi pencapaian penting Malaysia dalam bidang penerbitan Al-Quran, sekali gus menegaskan peranan negara sebagai pusat pengembangan ilmu dan seni Islam di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri kuliah Subuh yang disampaikan oleh Habib Umar di Masjid Putra, Putrajaya, sebelum menyantuni beliau bersama delegasi dari Yaman di Seri Perdana.

Beliau memaklumkan bahawa kuliah tersebut menyentuh kitab Qāmi‘ al-Ṭughyān ‘alā Manẓūmah Shu‘ab al-Īmān karya ulama besar Nusantara, Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Bantani.

Kuliah Subuh Madani
Kira-kira 10,000 jemaah menghadiri Kuliah Subuh MADANI yang berlangsung di Masjid Putra pagi tadi.

“Antara intipati kuliah ialah tentang kedudukan iman yang sebenar serta bagaimana tahap keyakinan, rasa cinta dan mahabbah kepada Allah SWT menjadi teras kepada kekuatan rohani seorang mukmin,” katanya.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas doa yang dipanjatkan oleh Habib Umar sambil mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan, kekuatan dan keberkatan kepada seluruh umat Islam serta tanah air tercinta.

Sebelum majlis berlangsung, beliau turut menunaikan solat Subuh berjemaah bersama kira-kira 10,000 jemaah di Masjid Putra dalam suasana penuh ketenangan dan keberkatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button