Anjung Sinar buka peluang TVET, kerjaya kepada anak lepasan JKM
SERDANG – Peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkasakan menerusi Inisiatif Anjung Sinar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peluasan bidang TVET itu bertepatan dengan keperluan industri semasa serta mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkasa modal insan, terutamanya dalam kalangan golongan rentan.
“Pendekatan TVET dan latihan kemahiran merupakan antara elemen penting dalam membantu peserta program Anjung Sinar.
“Khususnya anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agar mereka dapat melangkah ke alam dewasa dengan masa depan yang lebih terjamin serta mampu berdikari,” katanya.
Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Apresiasi Anjung Sinar 2026 sempena Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 yang berlangsung di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia semalam.
Nancy berkata, kerjasama erat dengan sektor swasta dan pemain industri amat penting bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak ini meneroka bidang TVET yang kini semakin mendapat permintaan.
Menurut beliau, menerusi kerjasama strategik bersama institusi latihan, pihak industri dan sektor korporat, peserta dapat diberikan sokongan serta akses kepada pelbagai latihan kemahiran, peluang latihan industri dan penempatan pekerjaan.
Sementara itu, antara bidang kemahiran yang telah diperkenalkan menerusi Program Anjung Sinar sebelum ini termasuk latihan gunting rambut dan kulinari barista melalui kerjasama dengan Kolej Komuniti Selayang.
Dalam masa sama, latihan kemahiran akan terus diperluaskan ke bidang kecantikan dan terapi kesihatan, jahitan dan kraftangan serta pembuatan pastri yang akan dipusatkan di Anjung Dinamik yang baharu dilancarkan.
Terbaharu, Yayasan Kebajikan Negara turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Kulim Hi-Tech Park Skills Centre (KHTPSC) bagi membuka lebih banyak peluang latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan dalam sektor industry berteknologi tinggi.
Program Anjung Sinar diperkenalkan bagi membantu anak-anak lepasan institusi di bawah JKM serta golongan kurang berkemampuan melalui pelbagai bentuk sokongan termasuk latihan kemahiran, pembangunan diri dan peluang kerjaya.
Pada majlis tersebut, seramai 12 peserta menerima surat tawaran latihan kemahiran dan penempatan kerjaya hasil kerjasama strategik bersama Public Islamic Bank Berhad dan KHTPSC yang akan bermula Jun ini.
Program Boot Camp Transisi Dinamik Anjung Sinar 2026 siri keempat yang berlangsung selama empat hari bermula 16 hingga 19 Mei 2026 melibatkan penyertaan 126 anak-anak institusi JKM dari seluruh negara.
Pada majlis yang sama seramai 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2025 dalam kalangan anak-anak institusi JKM turut diraikan sebagai penghargaan atas pencapaian akademik yang membanggakan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program Anjung Sinar telah memasuki siri pelaksanaan keempat dengan penglibatan seramai 1,058 peserta daripada 21 institusi JKM di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








