Anggota Navy SEAL didakwa bunuh orang awam dalam misi rahsia di Korea Utara – NY Times
NEW YORK – Anggota unit elit Amerika Syarikat (AS), Navy SEAL dilaporkan menembak mati beberapa orang awam Korea Utara dalam satu misi rahsia yang gagal pada tahun 2019.
Misi sulit bagi menanam peranti pengintip di negara itu dilaksanakan anggota platun Red Team dari SEAL Team 6 (DEVGRU) ketika rundingan diplomatik berisiko tinggi antara Washington dan Pyongyang pada awal 2019, lapor The New York Times, semalam.
Laporan itu menyebut, misi tersebut dilaksanakan ketika rundingan diplomatik berisiko tinggi antara Washington dan Pyongyang pada awal 2019.
Namun ketika operasi berlangsung, anggota pasukan tersebut terserempak sekumpulan orang awam Korea Utara yang dipercayai sedang menyelam mencari kerang.
Bagi mengelakkan kehadiran mereka diketahui, pasukan tersebut melepaskan tembakan dan membunuh semua individu yang berada dalam bot nelayan berkenaan.
Pegawai yang mengetahui mengenai operasi itu memberitahu Times bahawa anggota tentera AS kemudian “menarik jasad ke dalam air untuk menyembunyikannya daripada pihak berkuasa Korea Utara”.
Seorang sumber mendedahkan, anggota SEAL “menikam paru-paru mangsa dengan pisau bagi memastikan mayat mereka tenggelam.”
The New York Times menyatakan, maklumat mengenai misi itu diperoleh melalui temu bual dengan puluhan individu, termasuk pegawai kerajaan awam, anggota pentadbiran Trump serta bekas dan anggota tentera yang arif mengenai misi berkenaan.
Semua sumber tersebut bercakap tanpa identiti mereka didedahkan kerana status misi yang masih dirahsiakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





