BERITA SEMASA

43 sampel RON95 tiada kandungan air dikesan melebihi had minimum

KUALA LUMPUR – Analisis awal Jabatan Kimia Malaysia terhadap 43 sampel petrol RON95 yang diambil susulan aduan kerosakan enjin kenderaan mendapati kandungan air dalam semua sampel berada di bawah had pengesanan minimum yang dapat dilaporkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, laporan awal bertarikh 29 Oktober lalu menunjukkan kandungan air bagi kesemua sampel berkenaan kurang daripada 0.05 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, analisis terhadap baki sampel masih dijalankan bagi mengesan kehadiran air dan bahan asing lain dalam petrol berkenaan.

“Baki sampel yang lain masih dalam proses analisis dan laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua sampel selesai dianalisis oleh Jabatan Kimia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.

Armizan berkata, sehingga 31 Oktober lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil 262 sampel petrol RON95 membabitkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depoh syarikat minyak.

Daripada jumlah itu, sebanyak 259 sampel diambil di stesen minyak, manakala tiga lagi diperoleh dari depoh syarikat minyak sebelum dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

Menurutnya, tumpuan awal diberikan kepada pengesanan kandungan air memandangkan analisis bagi mengenal pasti keseluruhan jenis bendasing memerlukan masa.

Beliau berkata, KPDN menerima aduan berkaitan dakwaan petrol RON95 mengandungi bahan asing yang menyebabkan kerosakan enjin kenderaan pengguna bermula 3 Oktober lalu.

Susulan itu, pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan siasatan di stesen minyak terbabit dan mengambil sampel bahan api untuk dianalisis.

Pada masa sama, KPDN mengadakan sesi libat urus dengan syarikat minyak Petron dan Chevron, pengendali jenama Caltex, pada 9 dan 21 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca isu berkenaan.

KPDN akan meneruskan siasatan terperinci melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bahan api dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sekiranya terdapat sebarang kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button