AFA Prime cadang jadual perjalanan ikut negeri elak sesak KLK, LPT1 sempena Aidiladha
KUALA LUMPUR – AFA Prime Berhad melaksanakan strategi pengurusan trafik dan langkah keselamatan menyeluruh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) sempena Hari Raya Aidiladha 2026 bagi mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan itu.
Menerusi kenyataan hari ini, syarikat konsesi itu turut mengumumkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) kepada pengguna lebuh raya, khususnya yang menuju ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur dan Selangor pada 23, 24 serta 26 Mei ini.

Pengarah Urusan AFA Prime Berhad, Amnan Faleq Khalid berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan perjalanan pengguna lebuh raya lebih selamat dan selesa sepanjang musim perayaan.
“Dengan mengikuti TTA kami, para pemandu turut menyumbang kepada perjalanan yang tenang bagi semua pengguna di lebuh raya,” katanya.
Bagi perjalanan ke Pahang, pengguna disaran memasuki lebuh raya antara pukul 10 pagi hingga 2 petang atau 4 petang hingga 6 petang.
Pengguna yang menuju ke Terengganu pula dicadangkan memulakan perjalanan antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi atau 6 petang hingga 8 malam, manakala ke Kelantan antara pukul 6 pagi hingga 8 pagi atau 8 malam hingga 10 malam.
Untuk perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Jun depan, pengguna dari Pahang disaran bergerak antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.
Bagi pengguna dari Terengganu, waktu perjalanan dicadangkan antara 11 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 10 malam, manakala dari Kelantan antara 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam.
Menurut AFA Prime, pengguna juga digalakkan memanfaatkan ‘Waktu Perjalanan Bebas’ antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi perjalanan yang lebih lancar.
Selain itu, AFA Prime memaklumkan semua kemudahan lebuh raya akan diselenggara pada tahap optimum sepanjang musim perayaan, manakala unit rondaan dan pasukan tindak balas kecemasan ditempatkan di lokasi strategik bagi bantuan segera jika diperlukan.
Pengguna kenderaan ringan turut dinasihatkan mengelakkan waktu puncak bas ekspres di Plaza Tol Gombak iaitu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari serta 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Dalam pada itu, pengguna diingatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju dan mendapatkan rehat secukupnya.
Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau platform X @LPTTrafik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















