BERITA SEMASA

Trafik mula perlahan di lebuh raya utama

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara dilaporkan bergerak perlahan setakat pukul 1.30 tengah hari tadi melibatkan laluan di utara, selatan dan Lembah Klang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, antara laluan terjejas ialah PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Tambak Johor, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah timur dan barat serta Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah utara.

Menurut LLM, di PLUS arah utara, trafik perlahan dari Gopeng ke Simpang Pulai, manakala arah selatan menyaksikan kesesakan dari Permatang Pauh ke Perai serta dari Persimpangan Juru ke Plaza Tol Juru.

“Keadaan trafik turut dilaporkan perlahan dari Terowong Meru ke Ipoh serta dari Gopeng ke Tapah.

“Selain itu, aliran kenderaan bergerak perlahan dari Senai ke Hentian Sebelah Kulai dan dari Hentian Sebelah Senawang ke Port Dickson,” menurut kenyataan LLM hari ini.

Bagi arah selatan, trafik dilaporkan perlahan dari Nilai ke Bandar Ainsdale selain kesesakan dari Kulai ke Senai.

Di Tambak Johor pula, aliran trafik arah selatan dilaporkan perlahan dari Johor Bahru menghala ke Woodlands.

Sementara itu, di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, trafik bergerak perlahan dari MRR2 ke Plaza Tol Gombak.

Bagi arah barat lebuh raya berkenaan, kesesakan dilaporkan dari Lentang ke Bukit Tinggi serta dari Genting Sempah ke Gombak.

Di LDP pula, aliran trafik arah utara bergerak perlahan dari Kelana Jaya ke Taman Megah.

Sehubungan itu, LLM menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dengan teliti serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini lebuh raya bertol seluruh negara menerusi talian Hotline TMC LLM 1-800-88-7752 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button