
ADUN Belantik kini kritikal di hospital
ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Isa Shafie dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Laporan Bernama menyebut, Timbalan Ketua PAS Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman sebagai berkata, Isa, 69, yang juga ahli Jawatankuasa PAS Kedah dimasukkan ke Hospital Sik pada kira-kira pukul 7 malam semalam sebelum dibawa ke HSAH pada pukul 4 pagi tadi kerana mengalami jangkitan kuman pada jantung, paru-paru, dan buah pinggang.
“Menurut anak beliau, Ustaz Mohd Isa kelihatan lemah dan rebah di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Jelutong, Sik lebih kurang pukul 1.30 tengah hari semalam, sebelum dibawa ke Hospital Sik dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim.
“Keadaan kesihatannya lemah dan menurun sebelum doktor menidurkannya, saya memohon orang ramai mendoakan beliau agar sembuh dan dapat terus berkhidmat kepada rakyat Belantik,” katanya.
Tarmizi yang juga Ahli Parlimen Sik berkata, pada masa ini, orang ramai tidak dibenarkan melawat ADUN itu dan mengharapkan semua ahli keluarganya bersabar menghadapi ujian berkenaan.
Beliau berkata, Isa menjadi ADUN Belantik selama tiga penggal dan sebelum ini menghidap penyakit diabetes dan tekanan darah tinggi serta jantung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








