BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Chinotore buka ruang intervensi lebih inklusif buat kanak-kanak istimewa

CYBERJAYA – Di sebalik suasana moden dan pesat membangun di Cyberjaya, wujud sebuah inisiatif yang sedang perlahan-lahan mencorakkan masa depan lebih inklusif buat komuniti berkeperluan khas.

Bukan sekadar menawarkan program pendidikan atau terapi, Mawaddah Biz tampil dengan pendekatan holistik yang menggabungkan intervensi awal, latihan profesional dan kesejahteraan emosi dalam satu ekosistem komuniti.

Menyedari cabaran yang dihadapi ibu bapa serta penjaga kanak-kanak istimewa, Mawaddah Biz memperkenalkan Chinotore, satu kaedah intervensi kognitif dari Jepun yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengamal pendidikan khas dan terapi perkembangan kanak-kanak.

Program itu dibangunkan khusus untuk membantu kanak-kanak autisme, sindrom Down, autisme, ADHD serta mereka yang mengalami kelewatan perkembangan intelektual.

Berbeza dengan pendekatan konvensional, Chinotore memberi penekanan kepada latihan berstruktur yang membantu meningkatkan fokus, memori, koordinasi dan kemahiran pembelajaran asas.

Menurut Pengarah Latihan Mawaddah Biz, Siti Nurul Aina Mohd Naim, pendekatan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak semata-mata, malah turut melibatkan ibu bapa, penjaga, guru pendidikan khas dan juruterapi.

“Intervensi akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak memahami kaedah yang sama dan bergerak dalam satu sistem sokongan yang tersusun.

“Sejak diperkenalkan tahun lalu, program Chinotore menerusi kerjasama Dash Box Hotel Cyberjaya berjaya menarik perhatian ramai termasuk pengamal intervensi dan pendidik khas.

“Bengkel yang dianjurkan pada September dan Disember tahun lalu menghimpunkan seramai 58 peserta terdiri daripada ibu bapa, guru pendidikan khas, juruterapi dan penjaga kanak-kanak istimewa,” katanya.

aina
Siti Nurul Aina Mohd Naim
Program intervensi awal anak-anak istimewa melalui terapi Chinotore.

Menariknya, peserta bukan sahaja diberi pendedahan teori, malah turut menjalani latihan praktikal yang dikendalikan tenaga pengajar dari Jepun.

Malah, Mawaddah Biz kini merancang melahirkan lebih ramai pengamal bertauliah bagi memperluaskan akses kepada pendekatan tersebut di Malaysia.

Program Chinotore turut digabungkan dengan Early Intervention Program (EIP), sekali gus menjadikannya antara platform intervensi awal yang lebih sistematik dan menyeluruh.

Mawaddah Biz merupakan syarikat pertama di luar Jepun yang dipilih sebagai negara pelaksana hasil komitmen tinggi terhadap pembangunan pendidikan inklusif dan matlamat pembangunan mampan.

Di Malaysia, kepakaran terapi itu ditauliahkan kepada Norhafida Ahmad Hafiz yang merupakan Pengarah Mawaddah Biz sebagai Chinotore Master Trainer.

Peserta bengkel Chinotore 1 yang diadakan pada tahun lalu.

Namun bagi Mawaddah Biz, pembangunan komuniti tidak terhenti pada aspek pendidikan dan terapi semata-mata.

Mereka kini memperluaskan konsep ‘wellness hospitality’ menerusi pembangunan Santai Spa yang dijangka mula beroperasi sekitar Jun ini di lokasi sama.

Kemudahan itu bakal menawarkan perkhidmatan spa, terapi dan urutan bukan sahaja kepada orang awam, malah khusus untuk penjaga kanak-kanak istimewa yang sering berdepan tekanan emosi dan keletihan fizikal.

Selain itu, program kerohanian seperti Srikandi Jumaat turut dianjurkan secara berkala sebagai mengisi sokongan emosi dan pembangunan diri untuk wanita.

Pendekatan menyeluruh yang dibawa Mawaddah Biz memperlihatkan bagaimana pendidikan, terapi dan kesejahteraan boleh digabungkan dalam membentuk sebuah komuniti yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Dalam dunia yang semakin mencabar, usaha seperti ini bukan sahaja memberi harapan kepada keluarga yang memerlukan, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat keperluan khas bukan sebagai kekurangan, tetapi sebahagian daripada kepelbagaian yang perlu diraikan bersama.

Dash Box Hotel Cyberjaya, yang menjalinkan kerjasama dengan Mawaddah Biz.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button