ADUN Batu Uban kecewa MBPP tidak bertindak kes penemuan kaki lipas di restoran Kapitan
GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Kumaresan Aramugam melahirkan kekecewaan apabila Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak bertindak susulan aduan penemuan kaki lipas di sebuah restoran, di sini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Aramugam berkata, insiden itu berlaku ketika seorang stafnya datang makan ke restoran tersebut bersama keluarganya.

“Pada 14 Mac 2026, staf saya bersama keluarganya telah menjamu selera di Restoran Kapitan, Lorong Pitt.
“Ketika sedang makan, mereka menemui kaki lipas di dalam makanan yang dihidangkan.
“Satu keadaan yang jelas tidak boleh diterima dalam mana-mana premis makanan,” tulisnya.
Tambah beliau, apa yang lebih mengecewakan apabila aduan dibuat kepada pekerja restoran, ia langsung tidak diendahkan dan tiada sebarang permohonan maaf diberikan.
“Sikap sambil lewa ini menunjukkan tahap keprihatinan yang amat rendah terhadap pelanggan.
“Staf saya kemudiannya memaklumkan perkara ini kepada saya dan saya telah menasihatkan beliau untuk membuat aduan secara rasmi mengikut prosedur yang betul. Aduan telah dikemukakan kepada MBPP serta pihak kesihatan,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun menurut Aramugam, sehingga hari ini dimaklumkan bahawa tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Katanya, hanya pemeriksaan rutin dijalankan dan pihak berkenaan menyatakan tahap kebersihan restoran tersebut adalah memuaskan, justeru tindakan lanjut tidak dapat diambil.
“Persoalannya, mengapa tiada kompaun dikeluarkan dan mengapa restoran tersebut tidak diarahkan tutup?
“Saya sering melihat di media sosial bahawa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kes yang melibatkan kebersihan makanan.
“Namun dalam kes ini, situasinya kelihatan berbeza. Sekiranya kesalahan seperti ini dilakukan oleh gerai kecil, besar kemungkinan premis tersebut telah diarahkan tutup selama 14 hari.
“Saya tidak berniat untuk mencetuskan sebarang kontroversi, tetapi persoalan yang timbul ialah: apabila orang awam membuat aduan lengkap dengan bukti bergambar dalam kes ini terdapat kaki lipas dalam makanan, mengapa tiada tindakan diambil terhadap pemilik restoran tersebut?” tegasnya.
Malah beliau turut mempersoalkan adakah undang-undang hanya terpakai kepada peniaga kecil dan mereka yang tidak mempunyai pengaruh.
“Ini bukan sekadar isu individu, tetapi melibatkan kebersihan dan keselamatan makanan yang memberi kesan kepada kesihatan orang awam.
“Pengabaian terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan boleh mengakibatkan keracunan makanan,” katanya.
Tegas beliau lagi, perkara itu disuarakan bukan hanya kerana ia melibatkan stafnya, tetapi demi kepentingan semua pelanggan yang menjamu selera di premis tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







