BERITA SEMASA

Pulau Pinang terima pengiktirafan KPKT, antara lima bandar terbaik dunia

GEORGE TOWN – Kejayaan Pulau Pinang dipilih antara lima bandar terbaik dunia mendapat pengiktirafan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekaligus membuktikan kejayaan sebenar dalam mempromosikan pembandaran berpusat komuniti yang mampan, berdaya tahan dan inklusif.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memenangi Anugerah ‘Global Award for Sustainable Development In Cities 2023’ di Shanghai, China tahun lalu perlu dijadikan contoh terbaik kepada semua agensi perbandaran negeri.

Beliau berkata, kejayaan cemerlang MBPP itu antara faktor sebenar pemilihan menjadi tuan rumah penganjuran Malaysia Urban Forum 2024 buat kali keenam pada tahun ini.

Katanya, atas kejayaan dan usaha gigih MBPP itu sekali lagi jemaah menteri telah bersetuju untuk memilih MBPP bagi mewakili negara dan menjadi tuan rumah Persidangan Asia Pasific Ministerial Meeting On Sustainable Development 2025 pada April tahun hadapan.

“Persidangan itu akan dihadiri 58 wakil termasuk menteri dari 58 negara di rantau Asia Pasifik. KPKT turut membuat keputusan menawarkan diri sebagai calon Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

“Ini adalah usaha kita untuk mencapai kejayaan cemerlang negara dan membawa Malaysia kembali menjadi tumpuan dunia dan membuktikan komitmen sebenar dalam pembangunan mampan,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Malaysia Urban Forum (MUF) 2024 yang bertemakan “My City My Home’ di Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Nga Kor Ming berucap ketika menghadiri Majlis Perasmian Malaysia Urban Forum (MUF) 2024 yang bertemakan “My City My Home’ di Padang Kota Lama, di sini hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir P Rajendran; Penasihat Kerajaan Malaysia dalam Perbandaran Mampan, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif serta Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim.

MUF yang diadakan selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa depan akan dihadiri lebih 8,000 pengunjung dan peserta pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pakar industri, golongan profesional, usahawan, pelajar dan lain-lain.

Kor Ming menambah, KPKT turut mengambil pendekatan menerusi beberapa inisiatif sebagai langkah dan usaha dalam menggalakkan lagi perbandaran mampan berikutan peningkatan penduduk bandar melebihi 75 peratus dan kenaikan sehingga 85 peratus menjelang 2050.

 

Ujarnya, beberapa usaha perlu dilakukan selain inisiatif terbaharu dalam memberikan kemudahan perkhidmatan yang terpenting dalam penjagaan kesihatan, pendidikan berkualiti termasuk isu signifikan berhubung kesesakan dan kemampuan memiliki rumah bagi generasi muda.

“Bagi memberi jaminan bahawa kawasan bandar dapat dibangunkan secara mampan inisiatif KPKT adalah menjenamakan semula program perumahan rakyat (PPR) kepada
program residensi rakyat (PRR) dalam memperkasakan golongan keperluan berpendapatan rendah dapat memiliki rumah kediaman yang berkualiti.

“Program Perumahan PRIMA juga direka khusus untuk rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dengan kadar pendapatan RM2,500 hingga RM15,000 sebulan dalam memberikan penyediaan perumahan mampu milik bertaraf dunia seperti di Ideal Residency di Pulau Pinang.

“Gerai MyKiosk yang dilengkapi tenaga solar juga akan disediakan KPKT dalam membina ruang perniagaan yang teratur, selamat dan lebih selesa kepada golongan B40 dan KPKT mengambil inisiatif bagi membuka peluang golongan B40 dapat memulakan perniagaan dengan memberikan pengecualian sewa selama enam bulan pertama dan kadar sewa serendah RM150 sebulan.

“Ini usaha KPKT dalam membantu mereka meningkatkan taraf hidup sekaligus dapat mengurangkan cabaran bagi golongan miskin bandar,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tiga dari kanan) memberi isyarat tanda ‘hati’ sebagai simbolik selepas merasmikan Malaysia Urban Forum (MUF) 2024 di Pulau Pinang, Sabtu.

Kor Ming berkata, lebih 39,000 tan sisa pepejal dijana rakyat Malaysia setiap hari dan KPKT turut melancarkan Blueprint Ekonomi Kitaran yang dilengkapi 20 inisiatif dan 61 pelan tindakan termasuk lima tonggak utama bagi pengurusan sisa pepejal.

“Tidak terkecuali satu lagi usaha dalam pengurangan penggunaan plastik sekali guna di tapak pembuangan sampah dengan melaksanakan kempen Tiada Beg Plastik Sekali Guna dengan kerjasama 17 peruncit dan tiga persatuan runcit.

“Kita juga perlu meneroka konsep bandar pintar termasuk sistem pengurusan trafik pintar dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu tertentu dan membantu tingkatkan kecekapan dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China.

“Kita juga saling berganding bahu dalam menerokai kerjasama yang lebih berpotensi dalam perumahan pintar dan pembangunan semula bandar sambil menangani isu kritikal dalam perubahan iklim global,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button