Adik Putera Charles didakwa berhubung salah guna kuasa, kaitan dengan Epstein
UNITED KINGDOM – Adik kepada Putera Charles III, Andrew Mountbatten-Windsor, ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam oleh polis Britain atas dakwaan salah laku ketika memegang jawatan rasmi berkait dengan kes Jeffrey Epstein.
Penahanan itu disifatkan sebagai langkah luar biasa dalam sejarah moden Britain, sekali gus mencetuskan perhatian meluas kerana jarang sekali anggota kanan keluarga diraja dikenakan tindakan sedemikian.
Penyalahgunaan kedudukan itu didakwa dilakukan ketika beliau berkhidmat sebagai utusan perdagangan United Kingdom (UK) sebelum meletakkan jawatan pada 2011.
Dalam penahanan itu, pegawai penguat kuasa dilaporkan tiba di kediaman Andrew di Sandringham, iaitu tanah milik Putera Charles di Norfolk, pada awal pagi semalam.
Andrew sebelum dibebaskan lewat petang hari sama, kira-kira 11 jam selepas ditahan.
Pihak polis memaklumkan beliau dibebaskan di bawah siasatan, yang bermaksud tiada pertuduhan dikenakan setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Polis turut memaklumkan mereka turut menggeledah beberapa alamat di Norfolk dan Berkshire, iaitu lokasi bekas putera berkenaan menetap sebelum beliau meninggalkan kediamannya di Windsor bulan ini.
Sebelum ini, polis menyatakan mereka sedang meneliti dakwaan bahawa seorang wanita diperdagangkan ke UK oleh Jeffrey Epstein bagi tujuan mengadakan pertemuan seksual dengan Andrew.
Malah, terdapat juga dakwaan bahawa beliau berkongsi maklumat sensitif dengan pesalah seks yang sudah disabitkan kesalahan itu ketika memegang jawatan sebagai utusan perdagangan UK.
Bagaimanapun, Andrew menafikan semua tuduhan terhadapnya.
Perkembangan itu menyaksikan kali pertama dalam tempoh hampir empat abad seorang kerabat kanan diraja Britain ditahan pihak berkuasa, sekali gus mencerminkan perubahan sikap masyarakat terhadap institusi monarki yang sebelum ini sering dilindungi daripada kontroversi.
Raja Britain, King Charles III, yang juga abang kepada Andrew, mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penahanan tersebut.
“Biar saya nyatakan dengan jelas: undang-undang mesti dilaksanakan sebagaimana sepatutnya. Ketika proses ini berjalan, adalah tidak wajar untuk saya mengulas lanjut,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















