Abdul Azeez tidak mengaku salah tuduhan guna kedudukan dapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan jawatan pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan gaji RM690,000 kira-kira 12 tahun lalu.
Abdul Azeez, 60, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Saya faham, tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan,” katanya yang memakai baju ungu lokap polis dengan tangan bergari di dalam kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau sebagai Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi sebanyak RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta jenis BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.
Beliau didakwa mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, untuk mencadangkan beliau sebagai wakil TH di dalam syarikat berkenaan dan meyakinkan Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309), untuk bersetuju meluluskan cadangan melabur sehingga RM193.5 juta (sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada) dalam Putrajaya Perdana Berhad, yang tertuduh mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini, pada 25 Ogos 2014.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







