JENAYAH & MAHKAMAH

Buat kecoh di masjid, wanita warga emas diarah jalani pemantauan mental

GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret 3 di sini, hari ini mengarahkan seorang wanita warga emas menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan sebelum didakwa atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap imam dan bilal sebuah masjid.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi yang mengeluarkan arahan itu terhadap tertuduh, Sofiah Abdul Majid, 65, berkata, tertuduh didapati kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta selama sebulan.

“Berdasarkan pemerhatian, mahkamah mendapati OKT (orang kena tuduh) kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan sebelum prosiding pendakwaan dimulakan.

“Tertuduh akan kembali ke mahkamah pada 19 April dengan laporan psikiatri,” katanya, hari ini.

Arahan itu dibuat berikutan ketika pertuduhan, tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tidak menjawab soalan sama ada dia faham kandungan pertuduhan atau tidak, sebaliknya mengatakan semua isi kandungan pertuduhan adalah tidak benar.

“Bagaimana saya nak mengaku (pertuduhan dibaca) betul? Semua itu salah. Itu adalah perkataan orang lain.

“Semua yang dibaca itu tipu, saya tidak setuju dengan penipuan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Sofiah didakwa telah membuat satu penyataan zahir bahawa imam dan bilal Masjid Jamek Ar-Rahman di Batu Feringghi, Pulau Pinang membaca al-Quran seperti anjing menyalak yang dirasuk hantu Cina atau Hindu, pada pukul 10 malam, 12 Mac lalu.

Dia dituduh berbuat demikian dengan niat disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button