Pegawai bomba PPDA antara dua dikhuatiri lemas ketika berkelah
BACHOK – Seorang pegawai bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikhuatiri lemas bersama adiknya ketika berkelah bersama keluarga di Pantai Kandis, muara Sungai Gali, di sini, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ahmad Badrul Naim Abdul Wahab, 32, yang bertugas sebagai pegawai bomba PPDA di Bayan Baru, Pulau Pinang dan adiknya, Ahmad Nurruddin Abdul Wahab, 21.
Mereka datang bersama kira-kira 20 ahli keluarga dari Pasir Puteh sebelum kejadian kira-kira jam 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketika kejadian beberapa ahli keluarga dipercayai mandi sebelum Ahmad Nurruddin dan anak saudaranya, Mohd Ali Al Imran, 12, dipercayai tiba-tiba lemas.
Menurutnya, Ahmad Badrul Naim bersama abang iparnya, Mohd Ezad Abu Hassan, 49, yang juga bapa kepada kanak-kanak itu, segera bertindak menyelamatkan kedua-duanya.
“Ayah kanak-kanak berusia 12 tahun itu berjaya menyelamatkannya. Bagaimanapun, mangsa berusia 21 tahun yang baru tamat pengajian di institusi pengajian tinggi lemas.
“Abang mangsa cuba menyelamatkan adiknya, namun kedua-duanya dipercayai lemas,” memetik BH online.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Mohd Khairul Fais Ariffin berkata, pencarian dilakukan di permukaan air berdasarkan lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat.
Katanya, operasi kali ini amat mencabar kerana membabitkan anggota bomba sendiri.
“Perasaan sebak sebaik ayah kedua-dua mangsa terus memeluk kami sejurus bomba tiba di lokasi,” katanya lagi.
Operasi SAR masih diteruskan sehingga kedua-dua mangsa ditemui.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















