Lelaki lemas ketika mandi di Empangan Batang Ai
KUALA LUMPUR – Kegembiraan seorang lelaki menikmati aktiviti riadah bersama keluarga bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas di kawasan Empangan Batang Ai, Lubok Antu, Sarawak, semalam.
Mangsa, Rudie Anak Lan, 31, disahkan meninggal dunia selepas mayatnya berjaya ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 9.41 malam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.05 petang.
Difahamkan, mangsa sedang beriadah bersama ahli keluarganya sebelum terjun ke dalam empangan untuk mandi.
“Menurut maklumat pengadu, mangsa tidak lagi timbul di permukaan air selepas terjun ke dalam empangan.
“Usaha pencarian awal oleh ahli keluarga tidak berjaya sebelum bantuan bomba dan agensi berkaitan dipohon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Menurut kenyataan itu, selaman pertama dilakukan pada pukul 8.25 malam namun mangsa masih belum ditemui.
“Operasi diteruskan dengan selaman kedua sebelum mangsa berjaya ditemukan pada kedalaman kira-kira lima meter, iaitu sekitar satu meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








