BERITA SEMASAPOLITIK

Ahli Parlimen PKR desak Azam Baki digantung, segerakan siasatan bebas

KUALA LUMPUR – Sekumpulan Ahli Parlimen PKR hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta bagi membolehkan satu siasatan bebas dan telus dilaksanakan berhubung dakwaan penyelewengan kuasa yang dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.

Menurut kenyataan bersama mereka, dakwaan berhubung salah laku berkenaan disifatkan amat serius dan mengingatkan rakyat kepada episod hitam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hampir sedekad lalu.

“Dakwaan-dakwaan ini bukan sahaja membabitkan SPRM, malah turut menyentuh agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Setiap pendedahan yang dibuat mewajarkan satu siasatan jenayah dibuka dengan segera,” katanya dalam kenyataan itu.

Antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk kes seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Victor Chin yang didakwa disiasat atas tuduhan pengubahan wang haram melebihi RM500 juta menggunakan syarikat senaraian awam, namun kes tersebut berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar wang berkenaan dilaporkan dikembalikan.

“Kes disiasat oleh LHDN dalam tahun 2021 dan siasatan dibuat bersama-sama dengan SPRM. Walau bagaimana pun, kes itu berakhir tanpa pendakwaan dan sebahagian besar dari wang RM500 juta itu dikembalikan kepada Victor Chin,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, laporan tersebut turut menyentuh dakwaan campur tangan dalam satu kes melibatkan senjata api yang dikaitkan dengan seorang individu lain, yang akhirnya tidak membawa kepada sebarang pendakwaan.

Ahli-ahli Parlimen PKR berkenaan menegaskan, rakyat akan menilai dengan teliti reaksi dan pendirian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung perkara tersebut, memandangkan negara pernah melalui pengalaman cubaan menutup skandal besar sebelum ini.

Mereka turut memaklumkan beberapa tindakan susulan akan diambil, antaranya menulis kepada semua Ahli Parlimen bukan anggota pentadbiran merentas parti bagi mendapatkan sokongan supaya Azam Baki digantung sementara siasatan dijalankan.

Selain itu, mereka juga akan menggesa pimpinan parti komponen kerajaan termasuk DAP dan AMANAH untuk menggunakan pengaruh masing-masing bagi memastikan siasatan bebas dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, mereka turut bercadang menulis kepada Bersih bagi mencadangkan satu perhimpunan aman diadakan sebagai tanda bantahan terhadap dakwaan penyelewengan tersebut.

“Kami akan terus menyuarakan tuntutan ini bagi pihak rakyat sehingga satu siasatan bebas dan menyeluruh dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing serta Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahid Hassan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button