JENAYAH & MAHKAMAH

Pengerusi sebuah kuil di Dengkil didakwa ceroboh tanah milik orang lain

SEPANG – Seorang pengerusi kuil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menceroboh tanah milik orang lain di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh, M Paramaguru, 49, yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, Paramaguru didakwa melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran. Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 4.45 petang di lokasi berkenaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Darshela Hari Raja, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan bulanan RM1,800.

“Anak guam sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih kecil, masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala isterinya berumur 41 tahun adalah suri rumah yang bergantung kepada pendapatan suami,” memetik HM Online.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 12 Mac ini ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh ditahan di rumahnya di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada jam 3.30 petang, semalam.

Sebelum itu media melaporkan pemilik tanah di Taman Topaz, memberi tempoh seminggu kepada pihak pengurusan kuil untuk mengosongkan tanah yang diduduki secara haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button